Perangkap 'Pak Belang' dipasang di Kampung Kolam
22 hours ago
IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memasang perangkap khas untuk menangkap harimau belang di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini pada Selasa.
Pengarahnya Yusoff Shariff berkata, perangkap khas itu merupakan tindakan susulan selepas pemasangan kamera bagi tujuan pengesanan kelibat 'raja rimba' itu yang menyerang lembu ternakan penduduk pada 17 Januari lepas.
"Sebelum ini, kita telah pasang kamera di kawasan serangan harimau belang tersebut, namun masih belum ada sebarang kelibatnya yang kelihatan.
"Jadi, untuk pastikan tiada perkara di luar jangkaan berlaku dan atas faktor keselamatan penduduk, maka kita ambil keputusan untuk pasang perangkap khas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 19 Januari lepas, Perhilitan Perak mengesahkan menerima laporan berhubung serangan itu sekitar jam 12 tengah hari Jumaat lepas berdasarkan penemuan tapak kaki serta kecederaan yang menimpa lembu berkenaan.
Selain itu, Yusoff berkata, pihaknya percaya pemangsa yang dikenali dengan nama saintifik Panthera Tigris Jacksoni itu memburu makanan hingga ke kawasan penduduk disebabkan populasi babi hutan yang berkurangan di hutan berhampiran.
"Kita juga percaya harimau ini dalam keadaan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan sehingga menyebabkan ia menyerang lembu ternakan penduduk,” katanya.
Sehubung itu, penduduk kampung diminta supaya mengawasi dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran terutama di lokasi kejadian.
"Sebaiknya tempatkan haiwan ternakan dalam kandang dan jangan sesekali biarkan bebas berkeliaran kerana ia mengundang risiko kejadian serangan berulang," katanya. - Bernama
...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️