Hukuman penjara seumur hidup ke atas perogol tidak setimpal
16 hours ago
KOLKATA - Doktor pelatih di India yang diperkosa dan dibunuh kejam mendapat pembelaan tidak setimpal selepas pelaku jenayah kejam itu dihukum penjara seumur hidup.
Keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana mereka mengharapkan perogol tersebut akan ke tali gantung selepas kes menggemparkan itu mencetuskan siri protes dan mogok besar-besaran pada tahun lalu.
"Kami akan meneruskan perjuangan kami dan tidak akan membiarkan siasatan kes ini berakhir. Kami akan menuntut keadilan habis-habisan," kata bapa mangsa yang tidak dapat menahan sebak.
Hakim Anirban Das berpendapat kes tersebut tidak wajar berdepan hukuman mati kerana ia bukanlah kes luar biasa dan hanya mengarahkan tertuduh, Sanjoy Roy supaya menghabiskan sisa hidupnya di penjara.
Penemuan mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah di RG Kar College and Hospital di bandar Kolkata telah mengundang kemarahan orang ramai malah insiden itu turut mendapat liputan meluas media antarabangsa.
Pembunuhan itu membawa kepada tuntutan keselamatan tambahan di kemudahan perubatan kerajaan dan gelombang tunjuk perasaan disertai komuniti setempat bersama kumpulan doktor di Kolkata dan bandar utama lain sebagai simbol solidariti kepada mangsa.
Roy, 33, yang berkhidmat sebagai sukarelawan sivik di hospital tersebut menjadi satu-satunya tertuduh dalam kes itu diberkas sehari selepas mayat mangsa ditemui.
Perbicaraan Roy dilakukan segera di bawah sistem kehakiman yang berfungsi pada kadar agak perlahan di negara itu.
Sebelum keputusan dibacakan hakim, defendan sekali lagi mengaku tidak bersalah dan mendakwa dia diperangkap.
"Saya tidak dibenarkan membuka mulut. Saya didera dan dipukul serta dipaksa menandatangani dokumen," ujarnya.
Peguamnya, Kabita Sarkar berkata, mental anak guamnya 'tidak stabil' dan mereka akan memfailkan rayuan.
Difahamkan, kes tersebut diambil alih oleh Biro Siasatan Pusat (CBI) pada September 2024 sebelum tuduhan dikenakan ke atas Roy pada 4 Disember lalu.
Jenayah berat
Ketika prosiding itu berlangsung, pihak berkuasa turut menghalang kemaraan beberapa kumpulan yang berarak menuju ke mahkamah.
Ribuan penunjuk perasaan yang berhimpun di kawasan berhampiran bagaimanapun tidak henti-henti melaungkan slogan 'gantung dia'.
Penganjur protes, Rimjhim Sinha, 35, menuntut keadilan dan perlindungan lebih baik terhadap golongan wanita.
"Saya benar-benar kecewa dengan keputusan itu. Ia jelas jenayah berat. Sudah tiba masanya, India membendung kejadian pemerkosaan dan pembunuhan kejam yang semakin membimbangkan," ujarnya dalam nada kesal.
Sementara itu, jurucakap kumpulan doktor pelatih, Aniket Mahato yang menyertai siri protes pada tahun lalu menzahirkan kekecewaan dan berpendapat 'keadilan tidak ditegakkan'.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee dalam satu kenyataan juga tidak berpuas hati dengan hukuman itu.
Pada tahun lalu, Mahkamah Agung mengarahkan pasukan petugas kebangsaan untuk menyemak cara bagi meningkatkan keselamatan untuk kakitangan perubatan.
Kumpulan aktivis wanita turut membuat perbandingan insiden pemerkosaan beramai-ramai seorang gadis di dalam sebuah bas di Delhi pada 2012 yang membangkitkan tunjuk perasaan selama beberapa minggu di seluruh negara.
Keempat-empat tertuduh dihukum mati pada Mac 2020 meskipun hukuman itu jarang dikenakan di negara Asia Selatan berkenaan yang sering berdepan isu keganasan seksual terhadap wanita. - Agensi...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️