Pemimpin dunia ucap takziah tragedi nahas pesawat AIR India di ahmedabad
1 day ago

KUALA LUMPUR: Pemimpin dunia menyatakan rasa terkejut dan dukacita susulan nahas pesawat Air India penerbangan AI171 berhampiran Ahmedabad, India yang mengorbankan banyak nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
Perdana Menteri India Narendra Modi berkata tragedi itu telah “mengejutkan dan menyedihkan” seluruh negara. Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada semua yang terkesan.
“Peristiwa ini amat menyayat hati. Ingatan dan doa saya bersama dengan semua yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di platform X, sambil memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan menteri dan pihak berkuasa yang menguruskan usaha bantuan.
Raja Britain, Raja Charles III dalam hantaran di platform X menyatakan baginda dan Permaisuri Camilla “amat terkejut dengan kejadian tragis di Ahmedabad.”
“Doa khas dan ucapan simpati ditujukan kepada keluarga dan sahabat semua mangsa yang terkesan dari pelbagai negara yang sedang menanti khabar berita mengenai insan tersayang,” titah baginda.
Air India mengesahkan seramai 53 warga Britain berada dalam pesawat malang yang menuju ke London itu apabila ia terhempas sejurus berlepas pada pukul 1.38 tengah hari waktu tempatan, pada Khamis.
Perdana Menteri Britain Keir Starmer menyifatkan insiden itu sebagai “amat memilukan” dan menyatakan bahawa ingatannya bersama penumpang serta keluarga mereka pada waktu yang penuh duka ini.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada keluarga serta insan tersayang yang terkesan oleh nahas itu.
“Saya amat sedih menerima berita nahas tragik penerbangan Air India 171 berhampiran Ahmedabad. Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga dan insan tersayang semua mangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook.
“Kami turut merasai kesedihan India dan menyatakan solidariti penuh ketika usaha menghulurkan bantuan sedang dijalankan. Doa dan ingatan kami bersama para mangsa dan semua yang sedang meratapi kehilangan menyedihkan ini,” katanya lagi.
Penasihat Utama Bangladesh Dr Muhammad Yunus turut menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri India Narendra Modi dan menyatakan solidariti dengan rakyat dan kerajaan India serta kesediaan untuk menawarkan bantuan.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam kenyataan di platform X berkata: “Ucapan takziah saya kepada keluarga dan insan tersayang yang sedang berdukacita di atas kehilangan menyedihkan ini. Kepada @narendramodi, Eropah berdiri bersama anda dan rakyat India dalam detik penuh kesedihan ini.”
Presiden Rusia Vladimir Putin dalam telegram rasmi yang disiarkan di laman web Kremlin turut menyatakan “takziah atas kesan tragik nahas pesawat di Lapangan Terbang Ahmedabad.”
“Sampaikan ucapan simpati yang tulus dan sokongan kepada keluarga dan sahabat mangsa, semoga semua yang cedera dalam nahas ini akan segera sembuh,” katanya.
Presiden Perancis Emmanuel Macron pula menyatakan beliau menerima berita itu “dengan kesedihan yang mendalam” dan merakamkan “ingatan yang tulus kepada insan tersayang mangsa serta Perdana Menteri @NarendraModi.”
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese turut memberi reaksi di platform X dan menyifatkan nahas itu sebagai “amat menyayat hati.”
“Dalam saat penuh duka ini, rakyat Australia bersama semua yang terkesan. Kerajaan kami sedang menerima maklumat terkini dan akan terus memantau rapat perkembangan situasi,” katanya.
Perdana Menteri Ireland Micheál Martin turut menulis di platform X: “Doa dan ingatan saya bersama rakyat India susulan nahas pesawat tragik di Ahmedabad awal hari ini. Saya turut memikirkan keluarga semua mangsa dan pasukan penyelamat yang sedang menjalankan operasi di lokasi.”
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menzahirkan kesedihannya di atas tragedi nahas pesawat Air India itu.
“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meratapi kehilangan besar ini. Ingatan dan doa kami kepada semua yang terkesan oleh tragedi yang menyayat hati ini,” katanya dalam hantaran di X.
Pesawat menuju ke London itu membawa 242 orang termasuk 12 anak kapal sebelum terhempas pada Khamis sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat, barat India.
Pihak berkuasa di India kini sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan kediaman Meghaninagar, lokasi nahas, sementara siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi sedang dijalankan, menurut laporan media antarabangsa.
...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free