Sembilan maut pesawat terhempas dekat kediaman Trump
9 hours ago
WASHINGTON – Sembilan individu maut selepas sebuah pesawat persendirian terhempas di kawasan perumahan di selatan Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, berhampiran kediaman peranginan Presiden Donald Trump.Menurut AFP, pesawat jenis Learjet 60 itu menjunam pada kelajuan tinggi sebelum menghentam tanah dan mencetuskan letupan serta kebakaran besar.Nahas berlaku berhampiran Cresthaven di Palm Beach County, kurang 11 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Trump.Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy mengesahkan kesemua sembilan individu di dalam pesawat berkenaan terkorban."Nahas pesawat di Palm Beach County hari ini merupakan tragedi yang amat mengerikan," katanya dalam kenyataan.Menurut Duffy, pesawat itu berlepas dari Austin, Texas menuju ke Bahamas sebelum terhempas ketika menghampiri kawasan Palm Beach.Gabenor Florida, Ron DeSantis menyifatkan kejadian tersebut sebagai nahas yang dahsyat."Ia kelihatan seperti sebuah peluru berpandu yang sedang menjunam," katanya kepada pemberita berhampiran lokasi kejadian.Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada laporan mengenai kecederaan membabitkan penduduk di darat.Pesawat itu terhempas berhampiran pintu masuk sebuah kawasan kediaman bergerak sehingga menyebabkan kira-kira 600 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.Pesuruhjaya Palm Beach County, Joel Flores berkata, langkah pemindahan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penduduk ketika operasi kecemasan dijalankan.Sementara itu, Trump dilaporkan berada di Mar-a-Lago pada Ahad sebelum berlepas menaiki pesawat rasmi Air Force One kira-kira sejam sebelum nahas berlaku.Keadaan cuaca buruk dan ribut turut dilaporkan melanda kawasan berkenaan ketika kejadian.Rakaman komunikasi kokpit yang disiarkan laman pemantauan trafik udara menunjukkan juruterbang melaporkan masalah pergolakan udara, pembentukan ais serta hujan sebelum pesawat kehilangan ketinggian secara mendadak.Dalam rakaman itu, kru didengar mengisytiharkan kecemasan dan memberi amaran bahawa pesawat akan terhempas sebelum komunikasi terputus.Bagaimanapun, pihak berkuasa belum mengesahkan punca sebenar nahas tersebut.Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan pesawat itu terhempas.Identiti kesemua mangsa juga belum diumumkan secara rasmi. - AFP...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

