Ajak jerung 'bersembang' wanita hilang kedua-dua tangan
1 day ago
TURKS DAN CAICOS – Percutian seorang wanita di Kepulauan Turks dan Caicos bertukar tragedi apabila dia kehilangan kedua-dua tangannya selepas diserang seekor jerung ketika cuba merakam gambar haiwan pemangsa itu.
Dalam insiden yang berlaku pada 7 Februari lalu, mangsa, seorang pelancong berusia 55 tahun dari Kanada, dikatakan sedang merakam gambar seekor jerung sepanjang enam kaki (1.8 meter) di perairan cetek sebelum haiwan itu tiba-tiba menyerangnya.
Tindakan pantas suaminya yang mendengar jeritan mangsa berjaya menghalau jerung tersebut dan membawa wanita itu ke darat. Namun, kecederaan yang dialaminya terlalu parah, menyebabkan kedua-dua tangannya terpaksa dipotong.
Menurut kenyataan Jabatan Sumber Alam Sekitar dan Pantai (DECR) di Turks dan Caicos, mangsa dipercayai cuba 'berinteraksi' dengan jerung berkenaan tanpa menyedari risiko yang dihadapinya.
Ketika kejadian, dia dilaporkan sedang melakukan aktiviti snorkeling sebelum diserang secara mengejut oleh pemangsa laut itu.
Gambar yang dirakam sejurus selepas mangsa dibawa ke pantai menunjukkan dia dikelilingi ahli keluarga dan pelancong lain yang terkejut, dengan pergelangan tangannya dibalut kain bagi menghentikan pendarahan.
Selepas menerima rawatan awal di hospital tempatan, wanita itu telah dihantar pulang ke Kanada bagi mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, doktor gagal menyelamatkan kedua-dua tangannya yang terpaksa dipotong akibat kecederaan parah.
Walaupun sukar untuk menentukan sama ada serangan ini berpunca daripada tindakan provokasi atau tidak, pakar konservasi jerung, Chris Stefanou, berkata kemungkinan telefon pintar mangsa telah menarik perhatian jerung tersebut.
"Jerung atau mana-mana haiwan pemangsa di lautan boleh tersilap anggap peranti seperti itu sebagai ikan umpan," katanya kepada New York Times.
Bagi mengelakkan serangan jerung, pakar hidupan liar menasihatkan orang ramai supaya berenang di kawasan yang ditetapkan, mengelak air yang keruh, tidak berenang bersendirian, serta menjauhkan diri jika terlihat kelibat jerung. - Agensi...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️