Berlaku kenaikan ketara harga kelapa, santan - KPDN Negeri Sembilan
1 hour ago
SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mendapati berlaku kenaikan ketara harga kelapa dan santan di negeri ini.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, berdasarkan pemeriksaan pihaknya pada Khamis lalu, harga santan segar satu kilogram (kg) dijual antara RM8 hingga RM13, manakala santan pekat antara RM12 hingga RM20.
Menurutnya, bagi satu biji kelapa pula dijual antara RM3 hingga RM4 manakala satu kg kelapa parut antara RM7.60 hingga RM11.
"Pemeriksaan di pasar-pasar utama di seluruh Negeri Sembilan mendapati, bekalan kelapa dan santan masih ada, tetapi terdapat kenaikan harga yang ketara.
"Kenaikan harga didapati bermula sejak November lalu dan harga satu biji kelapa telah meningkat antara lapan peratus hingga 47 peratus," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, bagi harga kelapa parut satu kilogram (kg) pula kenaikan antara 13 peratus hingga 16 peratus, manakala harga bagi santan kelapa segar pekat 1 kg meningkat antara 8 peratus hingga 23 peratus.
Jelasnya, kenaikan itu berlaku berikutan kekurangan bekalan kelapa ketika ini yang disebabkan perubahan cuaca dan musim.
"Harga kelapa import dari Indonesia yang meningkat dan pengurangan pengeluaran kelapa tempatan menyebabkan stok pembekal berkurangan.
"Selain itu, permintaan meningkat sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam juga memberi impak kepada harga di pasaran," katanya.
Muhammad Zahir berkata, peniaga turut memaklumkan, faktor kos pengangkutan yang tinggi dan kos sampingan yang meningkat turut mempengaruhi harga jualan.
Tambahnya, keadaan itu turut mendorong peniaga menaikkan harga jualan mereka.
Sehubungan itu katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan terhadap harga yang ditetapkan.
"Pemeriksaan susulan akan dijalankan bagi memastikan semua premis mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.
...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️