MAIK lancar sistem eJariah Masjid, permudah sedekah digital
1 hour ago
KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melancarkan sistem eJariah Masjid iaitu sebuah platform sedekah dalam talian yang membolehkan sumbangan dilakukan secara lebih mudah, telus dan selamat.
Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sistem tersebut merupakan hasil kerjasama antara MAIK dan Syarikat SecurePay Sdn Bhd melalui satu memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan platform sedekah secara One Stop Centre dalam talian.
"Sistem ini memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada 621 masjid di Kelantan yang terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu masjid negeri, masjid bandar dan masjid jajahan (kategori 1) serta masjid mukim (kategori 2).
"Dengan menggunakan mod pembayaran FPX, penderma boleh membuat carian masjid mengikut jajahan dan mukim sebelum menyalurkan sumbangan mereka secara langsung ke akaun masjid yang dipilih," katanya pada sidang akhbar sempena Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK bagi tahun 2024 yang berlangsung di Hotel Perdana di sini.
Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan memberitahu, sistem tersebut membolehkan transaksi berganda (multiple transaction) dilakukan dalam satu masa dengan hanya satu kadar caj dikenakan.
Ujarnya, ia dibangunkan bagi menyediakan alternatif baharu dalam meningkatkan tabungan masjid secara sistematik, selain memastikan pengurusan dana yang lebih teratur dan berautoriti.
"Lebih menarik, setiap transaksi akan menerima resit dalam masa nyata (real-time), manakala MAIK turut menyediakan dashboard pemantauan bagi memastikan sumbangan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pihak masjid.
"Pelaksanaan sistem ini adalah selaras dengan peranan MAIK sebagai institusi agama yang bertanggungjawab dalam memperluaskan akses kepada kemudahan sedekah secara lebih mudah dan telus," katanya.
Menurut beliau, dengan adanya platform ini, masyarakat tidak lagi perlu risau mengenai ketelusan sumbangan mereka kerana setiap transaksi dapat dipantau dengan lebih baik.
Tengku Mohamad Rizam memberitahu, ini juga memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk bersedekah tanpa had masa dan lokasi.
Ujarnya, orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh mengakses sistem eJariah Masjid melalui laman web rasmi MAIK atau aplikasi yang akan dilancarkan tidak lama lagi....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️