Pilihan raya Singapura: Dua pemimpin Pas didakwa campur tangan

1 hour ago

Pilihan raya Singapura: Dua pemimpin Pas didakwa campur tangan
SINGAPURA - Dua pemimpin Pas dari Malaysia dipercayai cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura. Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura dalam satu kenyataan bersama pada Khamis. Kata kenyataan bersama itu, individu yang dikenal pasti tersebut ialah Bendahari Agung Pas, Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar. Susulan itu, MHA dan ELD telah mengeluarkan arahan untuk menyekat hantaran tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA). Menurut laporan Berita Harian Singapura, kedua-duanya didapati memuat naik hantaran di Facebook yang memberi komen berkaitan politik Singapura. Portal Harakah Daily pernah menerbitkan dua artikel pada 22 dan 23 April lalu, mengenai pandangan Iskandar berkenaan masyarakat Melayu di Singapura dan PRU2025. Artikel tersebut bertajuk 'PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol' dan 'Jangan ulangi senario Melayu 'disingkir' dari bandar'. Dalam pada itu, MHA dan ELD menegaskan, menjadi satu kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura. “Warga asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekali pun mempengaruhi GE Singapura. “Adalah satu kesalahan di bawah PEA bagi warga asing untuk menyertai kegiatan pilihan raya atau menerbitkan pengiklanan pilihan raya dalam talian (OEA). “Politik Singapura mestilah rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan,” kata kenyataan tersebut. Sebelum ini, Iskandar dalam hantaran di Facebook menyatakan sokongannya kepada beberapa calon pembangkang dalam GE2025, seperti calon Parti Pekerja (WP), Faisal Manap dan calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Damanhuri Abas. Beliau menyatakan kesedihan sekiranya Faisal kalah, walaupun banyak berjasa termasuk membangkitkan isu tudung di Parlimen dan secara tidak langsung turut memuji ketegasan ucapan Damanhuri semasa Hari Penamaan Calon. “Ucapan tegas beliau patut dijadikan iktibar. 60 tahun mereka berkuasa, bersangka baik diinjak kepala,” komennya. Seterusnya, Harakah Daily juga melaporkan Iskandar memuji beberapa calon Melayu WP lain iaitu Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Abdul Muhaimin Abdul Malik dan Sufyan Mikhail Putra. Beliau menyifatkan calon tersebut sebagai berani, berpendidikan tinggi dan berpengalaman dalam bidang profesional. Terdahulu, Iskandar turut meluahkan kebimbangan berhubung langkah mengambil khidmat perundingan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menjayakan pembaharuan semula bandar negara itu. Jelasnya, beliau bimbang konsep pemilikan perumahan itu dilihat sebagai agenda migrasi warga asing, sekali gus menyingkirkan masyarakat Melayu bandar yang miskin apabila hartanah dijual pada harga di luar kemampuan mereka. “Apabila kita lihat perkembangan di Singapura dalam pembaharuan semula bandar, kesannya amat buruk bagi orang Melayu. "Di mana sebelum merdeka, Singapura ada kerusi-kerusi (Parlimen) di mana orang Melayu adalah majoriti," ujarnya di artikel 'Jangan ulangi senario Melayu 'disingkir' dari bandar'. Sementara itu, Mohamed Sukri pula dilaporkan memuat naik semula hantaran bekas warga Singapura, Zulfikar Mohamad Shariff, yang telah menukar kewarganegaraannya kepada Australia pada 2020. Hantaran itu menyentuh isu pemakaian hijab di Singapura dan mendakwa Ahli Parlimen Melayu tidak boleh menjadi harapan masyarakat Islam. Dalam hantarannya, Mohamed Sukri turut mengaitkan DAP Malaysia dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. “Moga umat Islam di Malaysia tidak tertipu dengan DAP, mengulangi kesilapan di Singapura,” tulisnya. ...

Read the fullstory

It's better on the More. News app

✅ It’s fast

✅ It’s easy to use

✅ It’s free

Start using More.
More. from Sinar Harian ⬇️
news-stack-on-news-image

Why read with More?

app_description