Undi berdasarkan kaum, agama tindakan berbahaya di Singapura - Zaqy
1 hour ago
SINGAPURA – Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Kawasan Marsiling-Yew Tee GRC, Zaqy Mohamad menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan pihak asing mengeksploitasi isu perkauman dan agama demi kepentingan politik semasa musim pilihan raya republik itu.
Memetik laporan CNA, Menteri Kanan Negara Singapura yang bakal berundur itu mengkritik tindakan parti Pas yang menggesa rakyat Singapura mengundi berdasarkan garis perkauman dan keagamaan, dan menyifatkannya sebagai amat berbahaya.
"Apabila ada parti seperti Pas yang mengemukakan pandangan sedemikian, meminta rakyat Singapura mengundi berdasarkan agama dan kaum, saya rasa itu sangat berbahaya," katanya.
Zaqy membandingkan situasi Malaysia yang mempunyai parti politik berasaskan kaum dan agama seperti UMNO, Pas, DAP dan MIC dengan Singapura yang telah membina keharmonian serta saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum selama lebih 60 tahun.
Beliau turut memberi amaran bahawa Singapura mesti terus berwaspada terhadap eksploitasi isu kaum dan agama, sambil mengingatkan tentang rusuhan kaum yang pernah berlaku pada awal kemerdekaan negara itu.
Walaupun mengakui ruang diskusi berkenaan isu keagamaan wajar dibuka, Zaqy menegaskan bahawa menggesa rakyat mengundi berdasarkan kaum dan agama seolah-olah 'mengundang masalah'.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan arahan kerajaan Singapura kepada Meta untuk menyekat akses tempatan kepada beberapa hantaran Facebook baru-baru ini mencerminkan komitmen republik itu dalam melindungi keharmonian sosial dan integriti pilihan raya.
Tambahnya, isu seperti konflik Gaza boleh dibahaskan secara bertanggungjawab, namun rakyat perlu sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat majmuk di negara itu.
Pada Jumaat, Singapura mengarahkan Meta menyekat akses tempatan terhadap beberapa hantaran oleh dua pemimpin Pas dan seorang bekas warga Singapura kini berkerakyatan Australia, yang didakwa cuba mempengaruhi pilihan raya akan datang.
Seorang pendakwah Islam, Mohammed Noor Deros, turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada parti politik Singapura, termasuk menolak sokongan terhadap komuniti LGBT. – Agensi...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️