Parti Nasionalis Bangladesh umum bentuk kerajaan menjelang Ahad
1 hour ago
DHAKA - Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) memaklumkan akan membentuk kerajaan baharu menjelang Ahad selepas memenangi pilihan raya pertama sejak kebangkitan Julai 2024 yang menggulingkan kerajaan seteru lamanya, Liga Awami, lapor Anadolu Ajansi (AA)."Kerajaan akan dibentuk selewat-lewatnya 15 Februari. BNP akan ke parlimen bersama semua parti," kata Setiausaha Agung parti itu, Mirza Fakhrul Islam Alamgir kepada pemberita pada Jumaat ketika melawat kawasan Parlimennya di daerah Thakurgaon di barat laut negara itu.Pengerusi BNP, Tarique Rahman dijangka menjadi calon perdana menteri parti berkenaan. Beliau mengambil alih kepimpinan parti selepas kematian ibunya dan perdana menteri wanita pertama Bangladesh, Khaleda Zia pada Disember."Ia akan menjadi kerajaan BNP dan parti akan melaksanakan janji pilihan rayanya serta manifesto parti, termasuk perkara yang ditandatangani dalam Piagam Julai mengenai reformasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.Serentak dengan pilihan raya umum itu, negara berkenaan turut mengadakan referendum mengenai "Piagam Julai" yang diterima pakai Oktober lalu bagi pembaharuan perlembagaan yang mendapat sokongan besar rakyat.Piagam itu mengandungi lebih 80 cadangan bagi merombak tadbir urus, termasuk had penggal perdana menteri, peluasan kuasa presiden, perlindungan kebebasan badan kehakiman, peningkatan perwakilan wanita dan perluasan hak asasi.Menurut Perlembagaan, sesebuah parti memerlukan 151 kerusi daripada 300 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan. BNP dan sekutunya memperoleh 212 kerusi dalam pengundian pada Khamis. Pesaing utamanya, blok yang dipimpin Jamaat-e-Islami memenangi 77 kerusi.Walaupun pilihan raya bagi tiga kerusi ditangguhkan, lapan kerusi lain dimenangi calon bebas dan parti kecil.Lebih 127.6 juta pengundi layak mengundi, dan kadar keluar mengundi direkodkan pada 59.44 peratus, meningkat daripada 41.8 peratus pada pilihan raya Januari 2024. Pilihan raya itu diboikot pembangkang BNP-Jamaat di bawah kerajaan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang digulingkan.Secara berasingan, anggota Jawatankuasa Tetap BNP, Salahuddin Ahmed memberitahu pemberita di Dhaka bahawa kerajaan baharu akan secara rasmi meminta India mengekstradisi Hasina yang berdepan hukuman mati di negaranya kerana didakwa mengarahkan tindakan keras terhadap protes yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 orang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu."Kami akan menuntut ekstradisi beliau mengikut undang-undang. Ini perkara yang melibatkan Kementerian Luar Bangladesh dan Kementerian Hal Ehwal Luar India. Kami akan menuntut kerajaan India menghantarnya pulang untuk menghadapi perbicaraan," katanya.Pada November, sebuah mahkamah di Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina secara in absentia atas pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan semasa kebangkitan Julai 2024 yang menggulingkan kerajaannya.Kerajaan sementara di bawah Muhammad Yunus juga beberapa kali meminta ekstradisi Hasina.Seorang aktivis politik dilaporkan dipukul sehingga mati di daerah tengah Munshiganj pada Jumaat, manakala parti Jamaat dan sekutunya mendakwa ramai penyokong serta harta mereka diserang ketika BNP meraikan kemenangan pilihan raya.Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh sejak Hari Pengundian atas pelbagai sebab.Ketua Polis Balai Munshiganj Sadar, Mominul Islam berkata, seorang individu dipukul sehingga mati akibat permusuhan lama dan konflik pilihan raya."Satu operasi sedang dijalankan untuk menahan suspek," katanya kepada akhbar Prothom Alo.BNP turut menggesa agar tiada sambutan kemenangan diadakan.Secara berasingan, pegawai Jamaat memberi amaran akan mengambil "tindakan lebih tegas" sekiranya dakwaan penyelewengan pilihan raya tidak ditangani Suruhanjaya Pilihan Raya.Parti itu, yang memenangi 77 kerusi bersama 10 sekutunya, turut mendakwa parti Liga Awami yang diharamkan sedang dipulihkan dalam politik Bangladesh. - Bernama ...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

