Loji Biogas Valdor kurangkan pencemaran, jana tenaga boleh baharu
1 hour ago
BATU KAWAN - Projek Kemudahan Biogas Berpusat Kampung Valdor muncul sebagai inisiatif sisa-ke-tenaga berimpak tinggi yang menukar sisa ternakan kepada tenaga elektrik boleh baharu, sekali gus menjadi model penyelesaian mampan bagi menangani pencemaran alam sekitar di Pulau Pinang.Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelancaran rasmi kemudahan itu menandakan pencapaian penting dalam komitmen negeri untuk mengurus pertumbuhan sektor pertanian secara bertanggungjawab.Menurutnya, projek tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap sebuah kemudahan yang telah beroperasi sebaliknya melambangkan pelaksanaan penyelesaian berstruktur dan jangka panjang bagi menangani cabaran alam sekitar yang telah lama wujud."Penternakan haiwan khususnya babi kekal sebagai tonggak penting sektor agromakanan Pulau Pinang."Pada skala semasa, pengurusan sisa yang berkesan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan asas untuk melindungi kualiti udara, sistem air dan kesejahteraan komuniti," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kemudahan itu di Kampung Valdor pada Sabtu.Setakat tahun ini Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merekodkan 113 ladang babi dengan kira-kira 89,857 ekor babi manakala di Seberang Perai Selatan sahaja terdapat 44 ladang melibatkan sekitar 42,277 ekor babi.Beliau berkata, selama bertahun-tahun amalan pengurusan sisa dijalankan secara berpecah dan tidak konsisten namun kemudahan di Valdor telah mengubah keadaan tersebut melalui sistem rawatan berpusat yang lebih terkawal dan profesional."Loji yang beroperasi sejak Mac 2024 ini diluluskan di bawah rangka kerja Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan berupaya menukarkan sisa ternakan kepada tenaga boleh diperbaharui."Pada tahun 2025, kemudahan itu memproses kira-kira 120 tan metrik sisa babi sehari, bersamaan sisa daripada kira-kira 20,000 ekor babi. Ia menghasilkan hingga 0.6 megawatt tenaga di bawah operasi berselang," katanya lagi.Beliau menambah, pada kapasiti reka bentuk penuh, loji tersebut mampu menjana hingga 1.2 megawatt dengan 1 megawatt disalurkan ke grid nasional."Selain itu, ia direka untuk memproses hingga 226,000 tan metrik sisa ternakan setahun dan menghasilkan kira-kira 10.5 gigawatt-jam tenaga boleh diperbaharui."Ketika ini, kemudahan berkenaan memberi perkhidmatan kepada 20 ladang melibatkan sekitar 30,000 ekor babi dan mempunyai kapasiti untuk diperluaskan bagi menampung sisa hingga 90,000 ekor babi pada fasa seterusnya," ujarnya.Menurut beliau, projek bernilai RM25.9 juta itu bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran malah pemantauan Kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pengurangan ketara aduan bau serta peningkatan kestabilan alam sekitar di kawasan sekitar."Ini bukan unjuran tetapi hasil yang telah direkodkan. Kemudahan ini telah beroperasi, membuahkan hasil dan bersedia menjadi model rujukan," ujarnya.Beliau berkata, kerajaan negeri komited menangani isu alam sekitar secara sistematik tanpa menjejaskan sumber pendapatan penternak selain merancang pembangunan kemudahan rawatan sisa dan penjanaan tenaga serupa di Kampung Selamat tertakluk kepada penilaian menyeluruh."Projek pembinaan kemudahan biogas berpusat di Kampung Selamat dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun dengan sasaran operasi bermula sekitar tahun 2029."Projek itu bakal menggunakan pendekatan moden yang sama seperti kemudahan sedia ada di Valdor, sekali gus menjadi model untuk diperluaskan ke kawasan lain," katanya.Beliau berkata, tempoh pembinaan fizikal dianggarkan kira-kira setahun namun proses kelulusan termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) memerlukan masa lebih panjang."Projek di Valdor mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan berikutan gangguan pandemik Covid-19, wabak demam babi Afrika serta keperluan mendapatkan kelulusan EIA."Namun kini templat projek sudah tersedia dan boleh dijadikan rujukan untuk mempercepatkan pelaksanaan di kawasan lain," katanya.Kon Yeow menambah, syarikat terbabit memaklumkan kesediaan untuk melaksanakan projek di Kampung Selamat selepas mendapat persetujuan penternak yang telah menandatangani penyertaan baru-baru ini."Tapak cadangan sudah dikenal pasti dan syarikat berkenaan akan memulakan proses seterusnya sebaik semua kelulusan diperoleh," katanya.Tambahnya, usaha menambah baik sistem ladang termasuk penggunaan ladang tertutup dengan kawalan biosekuriti dan alam sekitar akan diteruskan bagi memperkukuh pengurusan penyakit dan perlindungan alam sekitar."Pertumbuhan mesti berdisiplin, piawaian mesti dipatuhi dan kesejahteraan komuniti mesti diutamakan."Dengan menukar sisa kepada tenaga, kita menetapkan penanda aras lebih tinggi bagi pembangunan mampan di Pulau Pinang," katanya....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

