Ketegangan serantau memuncak, konflik Iran, AS-Israel meluas
1 hour ago
KUALA LUMPUR - Konflik antara Iran dan pakatan Amerika Syarikat (AS)-Israel terus meluas di seluruh Asia Barat pada Jumaat, dengan serangan ketenteraan baharu, insiden keselamatan serantau serta kesan kemanusiaan dan ekonomi yang semakin meningkat dilaporkan di beberapa negara.Komander Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper mendakwa pesawat pengebom B-2 Amerika telah menggugurkan puluhan bom penembus seberat 2,000 paun (kira-kira 900 kilogram) ke atas pelancar peluru berpandu balistik bawah tanah Iran, dengan hampir 200 sasaran di seluruh Iran diserang sepanjang 72 jam lepas, termasuk kawasan sekitar ibu negara Tehran, lapor Anadolu Ajansi.Dalam perkembangan lain, konflik di laut turut terserlah melalui insiden berasingan di Lautan Hindi apabila Sri Lanka memberi perlindungan kepada sebuah kapal tentera laut Iran bersama 208 kru selepas sebuah kapal selam AS menenggelamkan kapal frigat Iran IRIS Dena.Kapal bantuan IRIS Bushehr memohon kebenaran untuk berlabuh di Sri Lanka selepas serangan itu, yang berlaku kira-kira 40 kilometer dari pantai Galle ketika frigat berkenaan dalam perjalanan pulang daripada latihan tentera laut anjuran India di Visakhapatnam.Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake berkata, kerajaan memutuskan untuk membantu kapal Iran itu atas dasar kemanusiaan sambil mengekalkan pendirian neutral dalam konflik berkenaan.Walaupun kempen ketenteraan semakin sengit, penilaian oleh pegawai Barat dan serantau menunjukkan struktur pemerintahan Iran masih kekal utuh, menurut laporan Washington Post yang dipetik oleh Anadolu.Seorang pegawai kanan Eropah memberitahu akhbar itu bahawa tiada sebarang tanda keretakan dikesan dalam sistem berkenaan dan kawalan rejim masih kekal sepenuhnya, manakala seorang pegawai kanan Arab berkata, jangkaan bahawa pembunuhan Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei akan mencetuskan mobilisasi massa tidak menjadi kenyataan.Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam wawancara berasingan dengan NBC News berkata, objektif serangan terhadap Iran gagal mencapai matlamat yang dihasratkan, menurut IranNarrative.Beliau berkata, pihak yang melancarkan operasi itu mungkin menyangka mereka mampu mencapai kemenangan pantas dan memaksa perubahan struktur dalam sistem politik Iran, namun menegaskan institusi kerajaan terus berfungsi dan komander tentera yang terkorban dalam konflik itu telah pun diganti.Sementara itu, tentera Iran memaklumkan bahawa ia sedang bersiap sedia untuk memperluas serangan balas, dengan Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya memberi amaran bahawa musuh akan berdepan serangan yang lebih intensif dan meluas dalam beberapa hari akan datang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).Iran berkata, ia telah melancarkan serangan menggunakan dron 'kamikaze' ke atas sasaran berkaitan Israel dan AS termasuk pangkalan udara Ramat David di Israel serta kemudahan AS di Kuwait dan Erbil, Iraq.Konfrontasi yang semakin meluas itu kini turut melibatkan negara jiran.Kuwait berkata, seramai 67 anggota tenteranya cedera akibat serpihan peluru berpandu atau insiden berkaitan pemintasan selepas sistem pertahanan udara menembak jatuh peluru berpandu dan dron yang memasuki ruang udara negara itu, lapor Anadolu.Arab Saudi turut memaklumkan bahawa ia memintas tiga peluru berpandu balistik yang menyasarkan Pangkalan Udara Prince Sultan, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa konflik itu boleh merebak lebih luas di negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.Di Lubnan, sekurang-kurangnya 123 orang maut manakala 683 lagi cedera dalam serangan udara Israel sejak Isnin, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan yang dipetik Anadolu, manakala Hizbullah memaklumkan ia melancarkan beberapa serangan roket dan peluru berpandu ke atas kedudukan tentera Israel di utara Israel dan selatan Lubnan.Konflik itu juga mula mengganggu pengangkutan antarabangsa serta operasi kemanusiaan apabila Etihad Airways mengumumkan penyambungan semula sebahagian penerbangan dari Abu Dhabi ke beberapa bandar di Eropah selepas beberapa hari pembatalan secara meluas, lapor dpa.Pada masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan hab logistik global utamanya di Dubai telah menggantung operasi berikutan situasi keselamatan semasa, menyebabkan bekalan perubatan bernilai kira-kira US$26 juta terkandas dan berpotensi menjejaskan penghantaran bantuan kecemasan di seluruh dunia. - Bernama ...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

