Pendatang Israel bakar rumah, kenderaan Palestin dalam serangan Tebing Barat
14 小时前
RAMALLAH - Pendatang haram Israel melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan Palestin di Tebing Barat yang diduduki dengan membakar rumah, kedai dan kenderaan pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.
Datuk Bandar Al-Funduq Loui Tayem memberitahu Anadolu bahawa puluhan pendatang haram menyerang rumah dan kenderaan penduduk di pinggir kampung, membakar sebuah kereta dan beberapa kenderaan lain serta merosakkan banyak kedai.
Beliau menggambarkan situasi di kawasan itu sebagai tegang, sambil menambah, "Kami mendengar bunyi tembakan dari semasa ke semasa, tetapi tidak dapat mengenal pasti puncanya."
Stesen radio kerajaan Palestin, Voice of Palestine melaporkan bahawa pendatang haram melakukan serangan ke atas kampung Al-Funduq dan Jinsafut, menyebabkan kerosakan besar termasuk membakar rumah, kenderaan dan premis perniagaan.
Serangan berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu, dengan kekerapan pertempuran dan peningkatan keganasan oleh pendatang Yahudi.
Ketegangan meningkat di Tebing Barat yang diduduki akibat perang Israel di Semenanjung Gaza, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 47,000 nyawa sejak 7 Okt 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, kira-kira 860 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 6,700 cedera akibat tembakan tentera Israel di wilayah yang diduduki.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan berkuat kuasa pada Ahad di Gaza.
Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel selama beberapa dekad ke atas tanah Palestin sebagai haram dan menuntut semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dikosongkan. - Bernama
...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️