Sanggup ulang-alik lima kali sehari demi ibu
12 小时前
KUANTAN – Demi kasih kepada ibu, seorang wanita sanggup berulang-alik sehingga lima kali sehari dari tempat kerja ke rumah bagi memastikan insan tersayang itu terus terjaga.Rohana Iman, 42, berkata, rutin tersebut dilakukan tanpa jemu selepas ibunya, Salbiah Ahmad, 68, hilang keupayaan fizikal susulan pembedahan memotong kaki sejak enam tahun lalu.Menurut jurujual itu, meskipun terikat dengan jadual kerja, dia tetap mengutamakan kebajikan dan keperluan ibunya termasuk memastikan keadaan di rumah sentiasa selamat."Saya kerja dekat dengan rumah, jadi saya akan curi masa balik sekejap tengok ibu, tanya sama ada dia sudah makan atau belum, dan bantu membawanya ke tandas."Ayah sudah tiada dan ibu satu-satunya harta yang ada, jadi saya perlu jaga sebaik mungkin dan beri kebahagiaan untuk dia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Balok Darat di sini pada Khamis.Anak ketiga daripada tujuh beradik itu memberitahu, sebagai usaha membahagiakan ibunya, dia sanggup meluangkan masa dan menanggung perbelanjaan bagi memenuhi hobi warga emas itu yang gemar berkebun.Ujarnya, langkah itu termasuk memastikan keperluan seperti tanah dan baja sentiasa mencukupi, selain membina pagar kecil supaya ibunya dapat melakukan aktiviti tersebut dengan selesa menggunakan kerusi roda."Ibu memang suka menanam, jadi hobi itu saya ikutkan sahaja supaya dia rasa gembira di rumah."Setiap pagi atau petang, ibu akan berada di kerusi roda untuk melihat pokok yang ditanam dan itu sudah cukup membuatkan saya bahagia," katanya.Rohana turut mengakui bertuah kerana diberikan kesempatan untuk berbakti kepada ibunya walaupun terpaksa berdepan kepenatan."Perasaan letih itu memang ada, malah adakalanya sehingga mahu menangis, tetapi kekuatan itu datang semula apabila melihat ibu," kata ibu tunggal itu yang mempunyai dua cahaya mata.Selain menguruskan ibunya, Rohana turut memantau keperluan dua anaknya termasuk menghantar dan mengambil anak bongsu berusia 16 tahun dari sekolah.Sementara itu, Salbiah menzahirkan rasa syukur dan menganggap anak-anaknya sebagai anugerah terbesar dalam hidup."Enam tahun saya tidak boleh bangun, harap pada anak saya termasuk Rohana sahaja. Syukur pada ALLAH, anak-anak semua jaga dengan baik."Saya sentiasa doakan anak-anak selamat dunia dan akhirat serta diberikan kesihatan yang baik," katanya ringkas sambil menitiskan air mata....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

