Kutipan zakat fitrah digital PPZ-MAIWP cecah 40 peratus
14 小时前
KUALA LUMPUR - Kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan bagi tahun 2026 mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus dengan jumlah kutipan mencecah RM18.3 juta melibatkan lebih 1.5 juta pembayar zakat.Pengerusi Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 peratus kutipan diterima menerusi saluran pembayaran dalam talian."Seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat, penggunaan Kod QR Amil sebagai saluran pembayaran zakat fitrah turut merekodkan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 63 peratus berbanding tahun sebelumnya."Pencapaian ini membuktikan penerimaan masyarakat yang semakin tinggi dan kesungguhan amil dalam menyesuaikan diri terhadap kaedah pembayaran digital atau transaksi tanpa tunai yang lebih pantas, mudah dan selamat," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Amil Fitrah 2026 di sini pada Selasa.Hadir sama, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.Majlis tersebut menjadi platform bagi mengiktiraf dedikasi para amil sebagai barisan hadapan yang membantu memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan zakat fitrah, di samping memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik antara PPZ-MAIWP dengan institusi masjid dan para amil di seluruh Wilayah Persekutuan.PPZ-MAIWP turut menyampaikan pengiktirafan kepada 24 penerima anugerah yang mencatat prestasi cemerlang dalam kutipan zakat fitrah.Pengiktirafan tersebut melibatkan kategori Anugerah Ketua Penolong Amil Terbaik, Anugerah Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kupon, Anugerah Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kod QR serta Anugerah Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kod QR Mengikut Zon.Mengulas lanjut, Ahmad Azam berkata, tugas sebagai amil bukan sekadar mengutip zakat fitrah, sebaliknya satu amanah besar kerana menjadi wakil kepada institusi zakat selain menjadi wajah yang membawa syiar Islam kepada masyarakat.Ujarnya, setiap layanan, penerangan dan urusan yang dipermudahkan akan membentuk keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat."PPZ-MAIWP akan terus memperkasakan peranan amil melalui pembangunan kompetensi, pemanfaatan teknologi digital dan penambahbaikan berterusan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan."Usaha berkenaan bagi memastikan urusan zakat menjadi lebih mudah, cekap dan diyakini, sekali gus manfaat zakat dapat terus disalurkan kepada golongan asnaf secara lebih berkesan," katanya....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

