Google salur RM650 juta bangunkan infrastruktur air baharu di Negeri Sembilan

9 小时前

Google salur RM650 juta bangunkan infrastruktur air baharu di Negeri Sembilan
GOOGLE mengumumkan pembiayaan sebanyak AS$160 juta (RM650 juta) bagi membangunkan infrastruktur air baharu untuk kegunaan bersama di Negeri Sembilan sekali gus menyokong keperluan masyarakat setempat dan pembangunan infrastruktur digital syarikat itu di negeri berkenaan.Menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Google melantik Gamuda Berhad untuk membina sebuah kolam takungan air pinggiran sungai serta loji rawatan air.Selepas siap, kemudahan itu akan dimiliki oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS, iaitu badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menguruskan aset negeri sebagai sebahagian daripada mandatnya.Apabila beroperasi kelak, loji berkenaan berupaya membekalkan 65 juta liter air terawat yang selamat diminum setiap hari bagi memenuhi keperluan kampus pusat data Google yang dirancang di Springhill Industrial Park, Port Dickson selain menambah bekalan air negeri untuk kegunaan awam.Selain pembangunan infrastruktur air, Google turut melancarkan inisiatif baharu dalam bidang pendidikan tenaga bersih dan pembangunan tenaga kerja bagi melatih golongan belia tempatan membina kerjaya jangka panjang dalam sektor berkenaan.Pengarah dan Ketua Infrastruktur dan Tenaga Global, Asia Pasifik Google, Drew Byrnes berkata, keputusan syarikat itu membiayai pembangunan infrastruktur air untuk kegunaan bersama di Negeri Sembilan mencerminkan aspirasi globalnya untuk mengembalikan air kepada alam sekitar sebanyak 120 peratus daripada jumlah air tawar yang digunakan.Menurutnya, komitmen itu diteruskan meskipun penilaian risiko air menunjukkan sumber air tempatan tidak berdepan risiko tinggi kekurangan atau penyusutan bekalan."Ini menegaskan tanggungjawab kami untuk mengembangkan kehadiran secara mampan dengan menggabungkan pembangunan infrastruktur digital canggih bersama projek pengembalian air kepada alam sekitar, penambahbaikan infrastruktur bekalan elektrik dan program yang direka untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan bagi peluang kerjaya baharu."Kami berharap dapat meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan rakan kongsi tempatan, daripada fasa pembinaan hingga operasi jangka panjang, bagi memberikan manfaat yang berkekalan kepada tenaga kerja dan masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Terletak di sepanjang Sungai Linggi, kolam takungan air pinggiran sungai itu direka khusus untuk menampung lebihan aliran sungai dan air hujan, terutama ketika musim hujan sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya yang sering dilanda bencana berkenaan.Air mentah yang ditakung akan disalurkan ke loji rawatan untuk diproses bagi kegunaan domestik dan komersial.Ketika musim kemarau atau apabila aliran sungai berkurangan, loji itu boleh mengambil air secara terus daripada simpanan takungan berkenaan bagi memastikan bekalan air kepada komuniti kekal mampan tanpa mengganggu aliran semula jadi sungai.Pembangunan infrastruktur digital Google di Negeri Sembilan turut merangkumi pembinaan sebuah kampus pusat data, penyediaan infrastruktur air baharu untuk kegunaan bersama serta pelaksanaan program pendidikan dan pembangunan tenaga kerja bersasar.Google juga akan menanggung sepenuhnya kos bekalan elektrik yang digunakan oleh kampus pusat datanya serta kos infrastruktur langsung yang diperlukan untuk menyambungkannya ke grid, selain mematuhi semua peraturan tempatan yang berkenaan.Komitmen syarikat itu terhadap Negeri Sembilan meliputi fasa pembinaan dan keseluruhan tempoh operasi kampus pusat datanya yang dijangka berlangsung selama beberapa dekad.Kampus pusat data yang dirancang di Port Dickson itu direka dari peringkat awal untuk menjadi antara kemudahan paling cekap tenaga di dunia.Apabila beroperasi kelak, keupayaan pengkomputeran canggihnya akan menyokong perkhidmatan Google termasuk Search, Maps dan Chrome yang digunakan setiap hari oleh jutaan individu serta organisasi di seluruh Malaysia.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon berkata, perancangan pembinaan kampus pusat data Google itu merupakan pencapaian penting dalam usaha negeri berkenaan menjadi destinasi berdaya saing bagi pelaburan infrastruktur digital bernilai tinggi.Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan bagaimana pelaburan swasta dan kepentingan awam dapat diselaraskan sejak peringkat awal bagi memberikan manfaat jangka panjang yang mampan kepada negeri serta rakyatnya."Kami menghargai pendekatan Google yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh, daripada pemilihan tapak pembangunan yang strategik hinggalah komitmennya terhadap infrastruktur air, penaiktarafan infrastruktur bekalan elektrik, serta perwujudan peluang baharu untuk latihan kemahiran dan pekerjaan."Usaha ini menunjukkan pentingnya pelabur bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memenuhi keperluan infrastruktur sambil memberikan manfaat nyata kepada masyarakat setempat."Bagi Negeri Sembilan, usaha menarik pelaburan mengambil kira saiz modal yang dikomitmenkan serta kualiti pelaburan, sumbangan ekonomi jangka panjangnya dan keupayaannya untuk mencipta nilai bagi rakyat kita," katanya.Beliau berkata, kehadiran Google turut memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi ekonomi digital yang sedang berkembang, selain berpotensi menarik pelaburan pelengkap, memperluas peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dan menyokong pembangunan tenaga kerja lebih berkemahiran."Kami melihatnya sebagai peluang untuk membina ekosistem digital yang lebih luas bagi menyumbang kepada daya saing jangka panjang negeri," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, Google turut bekerjasama dengan konsortium diterajui Shizen Energy-Solarvest dan TotalEnergies bagi menambah bekalan tenaga bersih baharu ke Grid Nasional Malaysia.Kerjasama itu dilaksanakan menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang menyediakan asas daya maju kewangan serta jaminan awal pendapatan masa depan kepada pemaju tenaga untuk mendapatkan pembiayaan bagi pembinaan kemudahan penjanaan tenaga bersih baharu, termasuk ladang solar berskala utiliti.Inisiatif berkenaan juga dijangka menambah peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan dalam pembangunan dan pengurusan kemudahan tersebut.Seiring komitmen menambah bekalan tenaga bersih ke grid, Google turut memperluas kerjasama dengan SOLS Foundation menerusi pelancaran dua inisiatif bagi memperkasa golongan belia menceburi kerjaya dalam sektor tenaga bersih Malaysia.Inisiatif pertama, Memupuk Literasi Tenaga Bersih di Sekolah, dilaksanakan menerusi program Solar Explorers dan Solar Futures yang akan menyediakan Makmal Solar dan Tenaga di setiap sekolah kerajaan yang mengambil bahagian.Setiap makmal akan dilengkapi sistem panel solar berkapasiti puncak 2.56 kilowatt serta storan bateri berkapasiti 5.4 kilowatt-jam.Guru pula akan diberikan latihan untuk menggunakan kemudahan berkenaan bagi melaksanakan pembelajaran interaktif dalam program akademik dan kokurikulum.Menerusi pendekatan itu, murid sekolah rendah dapat memahami cara teknologi solar berfungsi serta mengamalkan tabiat penjimatan tenaga dalam kehidupan seharian.Murid sekolah menengah pula akan didedahkan kepada peluang kerjaya dalam sektor tenaga bersih dan dihubungkan dengan laluan latihan berkaitan.Sistem yang dipasang turut menjana tenaga bersih bagi membantu sekolah mengurangkan kos elektrik serta menyediakan bekalan kuasa sandaran ketika berlaku gangguan bekalan elektrik.Inisiatif kedua, Membina Tenaga Kerja Tenaga Bersih yang Fasih Digital, melibatkan pembiayaan dan penubuhan modul latihan khas selama 36 jam dikenali sebagai Digital Skills for the Renewable Energy Workforce.Modul itu akan menjadi komponen tetap dalam program SOLS Solar Academy bagi melengkapkan golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti Orang Asli dengan kemahiran dalam sektor tenaga bersih.Antara bidang yang diberi tumpuan termasuk pemasangan fotovoltaik solar, penyelenggaraan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan operasi sistem tenaga, selain menyediakan peluang penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian.Memandangkan pekerjaan dalam sektor berkenaan semakin memerlukan kemahiran digital, termasuk penentuan saiz sistem solar, pengiraan beban, pemantauan prestasi penyongsang (inverter) dan grid serta pelaporan lapangan, modul baharu itu akan melengkapkan pelatih dengan kemahiran yang relevan untuk keperluan masa depan.Langkah itu sekali gus membuka laluan kepada mereka untuk memasuki pasaran pekerjaan dengan kemahiran yang lebih bersedia menghadapi perubahan industri serta berpeluang menjawat jawatan berpendapatan lebih tinggi.Kedua-dua inisiatif itu dijadualkan dilaksanakan di Negeri Sembilan pada awal 2027, menggabungkan pendidikan di peringkat awal dengan latihan kemahiran teknikal yang memenuhi keperluan industri.Usaha berkenaan dijangka membantu membina kumpulan bakat lebih kukuh bagi menyokong peralihan tenaga bersih Malaysia....

Read the fullstory

It's better on the More. News app

✅ It’s fast

✅ It’s easy to use

✅ It’s free

Start using More.
More. from Sinar Harian ⬇️
news-stack-on-news-image

Why read with More?

app_description