Pendirian ASEAN berkecuali beri impak positif
14 hours ago

KUALA LUMPUR: ASEAN secara konsisten mengekalkan pendirian berkecuali dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, dan ini kekal sebagai teras kepada pendekatan diplomatik di rantau ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Walaupun pendirian AS dan China mungkin amat berbeza dari semasa ke semasa, apa yang ASEAN telah laksanakan dengan baik selama ini ialah mengekalkan pendirian berkecuali -- menjalin perdagangan antara satu sama lain, berdagang dengan kedua-dua pihak tanpa terlibat dalam ‘masalah atau kesulitan’ yang sukar,” katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
“Saya fikir itulah yang akan terus kami laksanakan kerana mekanisme yang lebih harmoni dan lebih terbuka membolehkan hasil yang lebih baik berbanding mekanisme yang tidak berfungsi dengan berkesan.
“Ini telah terbukti sebelum ini dan ASEAN ingin terus berusaha ke arah itu pada masa depan,” katanya pada sesi selama sejam pada forum oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).
Beliau berkata pendekatan ini membolehkan 10 negara anggota blok tersebut, termasuk Malaysia yang kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN menggalakkan hubungan yang membina dengan kedua-dua kuasa besar dunia selain menjaga kestabilan dan perpaduan serantau.
Mengenai sama ada tindakan negara anggota secara individu berurusan dengan AS secara berasingan bercanggah dengan mesej ASEAN tentang pendekatan bersatu, Amir Hamzah berkata tahap pembangunan yang berbeza antara negara anggota perlu diambil kira.
ASEAN, sebagai sebuah blok, agak besar dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir US$3.8 trilion (US$1=RM4.37), menjadikannya blok ekonomi kelima terbesar di dunia.
“(Bagaimanapun,) Singapura mungkin berada pada kedudukan yang amat tinggi dalam rantaian nilai manakala negara anggota lain mungkin tidak begitu tinggi serta eksport dan import mereka juga amat berbeza antara satu sama lain. Begitu juga, dengan kemahiran di negara-negara tersebut,” katanya.
Sebagai sebuah blok, terdapat bidang dan potensi yang boleh dimanfaatkan bersama, katanya.
“Oleh itu, tidak timbul isu ketidakselarasan dalam perkara ini dan kami akan terus berusaha untuk menggalakkan perdagangan antara negara ASEAN yang lebih meluas serta pelaksanaan projek bersama dalam infrastruktur dan sebagainya yang memberi manfaat kepada ekonomi ASEAN secara keseluruhan,” kata Amir Hamzah.
Beliau berkata peralihan dalam persekitaran perdagangan global memerlukan tindak balas.
“Respons pertama yang diberikan oleh ASEAN sebenarnya ialah, ‘Jangan melawan’ kerana apabila anda berkeras dengan pendirian tersebut, anda tidak akan mewujudkan persekitaran yang perbincangan boleh dibuat. Oleh itu, mekanisme tidak membuat tindakan balas yang kami katakan,” katanya, merujuk kepada respons segera ASEAN terhadap tarif timbal balik AS.
Walaupun tarif kini ditangguhkan sementara, negara anggota wilayah Indochina ASEAN merupakan antara yang paling terjejas akibat tarif itu dengan Kemboja dikenakan gabungan tarif dasar dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).
Thailand dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing sebanyak 24 peratus, Filipina 17 peratus manakala Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Amir Hamzah berkata ASEAN terus mengekalkan komitmennya terhadap mekanisme multilateral dan berasaskan peraturan.
“Kami mahu mekanisme berasaskan peraturan terus wujud. Saya rasa setiap negara anggota mempunyai pegangan pada prinsip peringkat tinggi tersebut.
“Kami juga praktikal dalam memahami bahawa mungkin terdapat perbezaan antara setiap negara dan mungkin juga ada perbezaan dari segi keutamaannya. Oleh itu, dua hala akan terus wujud,” katanya.
Amir Hamzah berkata tiada kesalahan untuk negara anggota yang ingin mencapai matlamat untuk kepentingan negara mereka.
“Bagaimanapun, kita mesti (juga) mempunyai keupayaan untuk berunding antara satu sama lain, dan kita tidak, dalam perbincangan (dua hala), memburukkan keadaan bagi anggota ASEAN yang lain.
“Terdapat komunikasi yang berterusan antara negara anggota ASEAN bagi memastikan kami tidak memberi tekanan kepada mana-mana negara anggota yang boleh memberi kesukaran kepada mereka.
“Saya rasa itu hasil yang terbaik — memberi kelonggaran yang menangani jurang dalam pertumbuhan pembangunan selain membolehkan negara anggota melaksanakan hak kedaulatan mereka untuk terus maju,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian sedemikian tidak melemahkan blok tersebut, sebaliknya, menyerlahkan keperluan kepada hubungan dua hala diteruskan bersama usaha serantau.
...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free