Malaysia gesa perubahan global ke arah kerjasama bandar berteraskan tindakan
14 hours ago

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa satu perubahan berani dalam kerjasama bandar di peringkat global sambil mengajak pemimpin dan datuk bandar untuk tidak sekadar berbincang semata-mata malah menterjemahkan kepada tindakan konkrit melalui kerjasama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHA) menyuarakan gesaan itu dalam ucapan khas pada Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) 2025 yang berlangsung di Vienna.
Dalam acara yang dihadiri lebih 75 peneraju dan datuk-datuk bandar dari seluruh dunia itu, beliau turut menyentuh mengenai keperluan mendesak untuk tindakan di peringkat bandar yang berteraskan pelaksanaan tempatan dan disokong oleh inovasi.
“Kerjasama sewajarnya membawa kepada perlaksanaan projek yang menyelesaikan cabaran sebenar di bandar. Kita perlu memantapkan perkongsian ilmu dan menyokong usaha ini melalui dana inovasi, hab teknikal serta pencapaian yang boleh diukur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Nga turut memperincikan pendekatan bagi menggalakkan lagi kerjasama antara bandar melalui mekanisme seperti pembiayaan inovasi bersama, penyelarasan serantau dalam menangani isu-isu bandar, dan piawaian metrik bandar untuk menilai keberkesanan perlaksanaan inisiatif.
Beliau berkata perkara itu bukan semata-mata teori tetapi strategi yang telah terbukti keberkesanannya berdasarkan pengalaman Malaysia.
“Melalui platform seperti Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia, Rangkaian Bandar Pintar ASEAN dan Platform Agenda Bandar Baharu Asia-Pasifik, kami aktif mempromosikan pertukaran pengalaman dan penyelesaian yang boleh diperluas untuk pembangunan bandar mampan,” kata beliau.
Untuk memperkukuh gesaan itu, Nga merujuk kepada model bandar transformatif seperti Superblocks di Barcelona, dasar Sifar Sisa di Yokohama dan Sistem Transit Pantas Bas Curitiba yang membuktikan bagaimana inovasi bandar dapat memberi kesan di peringkat global menerusi perkongsian ilmu.
Menurut kenyataan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Penasihat Pemodenan Bandar Mampan Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dalam ucapan beliau semasa Forum Datuk Bandar semalam, turut berkongsi beberapa saranan mengenai penyediaan perumahan mampu milik.
Beliau berkata perumahan mampu milik bukan sekadar sasaran pembangunan, ia juga cerminan perjanjian sosial kerajaan dengan rakyat.
“Kemampuan sebenar tidak hanya pada dasar semata-mata, ia menuntut keyakinan bersama ... sebuah bandar yang benar-benar inklusif ialah bandar yang mendengar suara rakyat, melaksanakan penyesuaian dan tindakan demi mewujudkan nilai kekitaan sebenar untuk rakyat,” katanya.
...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free