'Emergency exit': Memikir ulang 'Darurat' dan Kampung Baru, 70 tahun kemudiannya
27 days ago
Pernahkah anda mendengar tentang Muzium Perang Imperial?
Ia merupakan salah satu muzium awam di London – muzium yang meraikan dan memperingati zaman imperialisme dan kegemilangan Great Britain, yang empayarnya pernah terbentang merentasi tujuh lautan.
Dengan kemegahannya yang penuh pura-pura, bahagian hadapan muzium ini kelihatan menakutkan. Pintu masuknya di Jalan Lambeth itu ‘dikawal’ oleh dua meriam besar.
Di dalamnya, muzium ini mempamerkan mesin-mesin perang yang digunakan oleh empayar: pesawat, kereta kebal, peluru berpandu, malah kapal selam dengan torpedo, dan pelbagai jenis bom, senjata api dan persenjataan lain.
Di setiap tingkat dan koridornya terdapat patung-patung arca, gambar dan memorabilia pemimpin politik, jeneral dan komander yang merancang kempen perang dan menghantar askar keluar untuk berperang dan memusnahkan atas nama empayar.
Kurang diketahui umum ialah muzium ini juga merupakan tempat penyimpanan dokumen, gambar, diari perang, bendera, lencana, risalah dan filem – arkib bahan perang yang jarang dipamerkan.
Oleh itu, ia merupakan detik yang cukup penting apabila pameran Emergency Exits: The Fight for Independence in Malaya, Kenya and Cyprus dibuka di tingkat tiga muzium. Pameran ini telah berlangsung sejak 17 Oktober 2025.
Rahsia kotor penyahjajahan: penempatan semula paksaPameran ini mengajak kita untuk berfikir semula tentang proses penyahjajahan – khususnya, bagaimana penempatan semula secara paksa merupakan sebahagian daripada langkah-langkah paksaan yang diambil oleh British untuk memerangi perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu, Cyprus dan Kenya pada tahun 1950-an dan 1960-an.
Ketiga-tiga “jalan keluar” telah diisytiharkan sebagai “darurat” oleh pihak berkuasa penjajah British. Seperti yang dijelaskan oleh pameran itu, “memanggilnya sebagai peperangan akan membatalkan banyak polisi insurans peneroka Eropah. Ia juga membenarkan kuasa-kuasa baharu untuk digunakan pakai.”
Pameran itu mendedahkan bahawa “tiada perubahan yang teratur dan aman daripada pemerintahan penjajah British kepada proses kemerdekaan”. Jalan keluar daripada empayar – yang dipesatkan oleh peristiwa dan pengalaman Perang Dunia Kedua – cukup “menyakitkan bagi mereka yang melaluinya: terdapat keganasan yang sama banyak pada saat berakhirnya empayar seperti semasa pembentukannya”.
Sebuah poster pameran bertanya: “Apakah Empayar British?” Jawapannya:
Seperti semua empayar, empayar Britain dibina terutamanya untuk menyediakan sumber bagi tanah air. Ini melibatkan pengambilalihan wilayah, selalunya tanpa persetujuan orang yang tinggal di sana.
Sesetengah jajahan cukup dihargai kerana ia memiliki sumber yang memperkayakan Britain. Yang lain pula dihargai kerana lokasinya yang strategik diperlukan bagi mengekalkan atau melindungi empayar itu sendiri.
Di Kanada, Australia dan New Zealand, beribu-ribu orang Eropah yang menetap telah mengakibatkan komuniti peribumi terkesan, kadangkala dimusnahkan, dan tidak lama kemudian dikalahkan oleh pendatang baru. Di kebanyakan jajahan British, sekelompok pegawai British yang lebih kecil memerintah penduduk peribumi yang besar, selalunya melalui kerjasama dengan sekutu dan tentera tempatan.
Kurator memberitahu para pengunjung bahawa “anda akan bertemu orang dari semua pihak dan mendengar secara langsung pemikiran mereka tentang peperangan yang membentuk kehidupan mereka”, dan menjemput mereka untuk “merenung nilai kebebasan – dan sama ada kita masih membayar harganya”.
Pihak British juga telah memperdaya golongan anak muda di negara mereka sendiri untuk menyertai peperangan ini dengan menamakannya sebagai “Khidmat Negara”.
Salah seorang daripada mereka, John Scurr, menjalani “Khidmat Negaranya” di Malaya pada tahun 1950. Beliau terus terang tentang penglibatannya: “Mereka berkata bahawa ada Khidmat Negara untuk melatih orang ramai sekiranya berlaku perang dunia, tetapi itu bukanlah sebab yang sebenar. Mereka memerlukan tenaga pada masa itu kerana kami masih mempunyai empayar untuk diawasi.”
Sebab sebenar untuk terus mengawal Tanah Melayu telah dinyatakan dalam sebuah nota dari pejabat pesuruhjaya jeneral, bertarikh Mei 1957.
Masa depan Persekutuan Malaya adalah penting bagi United Kingdom atas empat sebab:
Jadi, pihak British memutuskan bahawa Malaya mesti terus menjadi sumber ekonomi yang besar bagi dimanfaatkan oleh Britain. Dengan berbuat demikian, ia juga akan menghalang perkembangan komunisme dalam Perang Dingin global yang semakin memuncak.
Sebuah poster dalam pameran itu menjelaskan apa yang pernah diucapkan oleh seorang ahli politik British pada tahun 1950: Hasil Tanah Melayu “sebahagian besarnya menampung taraf hidup rakyat negara ini dan wilayah yang menggunakan sterling sejak perang berakhir; apa yang boleh kita lakukan tanpa Malaya, serta pendapatannya dalam timah dan getah, saya tidak tahu”.
Tidak menghairankan, Parti Komunis Malaya (MCP) dan Tentera Pembebasan Bangsa Malaya (MRLA) menggunakan strategi sabotaj ekonomi, antara taktik yang lain, dalam perjuangan mereka menentang British. Pada tahun-tahun awal “Darurat”, penentangan daripada MCP dan MRLA terbukti berkesan, kerana komunis disokong dengan baik.
Ramai anggota tentera dan polis British yang datang ke Malaya adalah mereka yang ditempatkan semula dari negara Yahudi Israel yang baru diwujudkan pada tahun 1948, yang berubah daripada status Mandat British Palestin. Britain mesti memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam pembentukan Israel, tetapi juga atas kejadian Nakba – Bencana – yang menyusul. Malaya, dalam erti kata lain, mewarisi sisa-sisa tentera British yang dibentuk oleh pengunduran mereka sebelumnya.
Pastinya, pengunduran British dari Israel/Palestin juga memberi kesan kepada pengunduran mereka dari Malaya.
[Tentera dan polis British datang ke Tanah Melayu selepas pembentukan negara Yahudi Israel dan Nakba – Bencana – itu.
Jika pembaca tidak biasa dengan peristiwa Nakba, sila rujuk karya Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine (Oxford: Oneworld, 2006). Pappe, seorang ahli sejarah Yahudi yang mengajar di Universiti Hebrew, menggambarkan Nakba sebagai “pembersihan etnik” atau penyah-Arabisasi yang melibatkan sebahagian besar Baitulmaqdis, Jericho dan kawasan bandar lain; perubahan ini turut melibatkan bandar-bandar Arab seperti Haifa dan Jaffa yang menjadi pusat kaum Yahudi hanya dalam beberapa minggu; pemusnahan kampung-kampung Arab dan bagaimana pembinaan kibbutz demi kibbutz dilakukan di atas tanah tersebut. Malah landskap juga telah diubah suai dan ditanam dengan lebih banyak pokok pain supaya kelihatan seperti Eropah bagi menghapuskan kesan penempatan asal Palestin.
Penubuhan negara Israel menamatkan 2,000 tahun pengasingan bagi pendukung Zionis. Walau bagaimanapun, ia juga menyebabkan peristiwa Nakba, yang merupakan punca kepada masalah pelarian Palestin yang meluas. Berikutan Nakba, kem pelarian telah diwujudkan di negara-negara jiran seperti Lubnan, Jordan dan Syria, serta di Gaza dan Tebing Barat.
Bertentangan dengan kepercayaan yang disebarkan oleh sarjana Israel dan beberapa sarjana Barat, masalah pelarian ini bukanlah berpunca daripada perang antara orang Arab dan Israel yang bermula pada tahun 1948. Kajian Pappe menunjukkan bahawa pengusiran rakyat Palestin berlaku sebelum perang itu dan sebelum pencerobohan ke atas Israel oleh negara-negara jiran di rantau Arab. Ia bermula sehari selepas Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 181 – Pelan Pembahagian – yang diumumkan pada 29 November 1947.
Pappe juga menyamakan perpindahan beramai-ramai kaum Yahudi ke Palestin dengan contoh-contoh lain daripada arus penjajahan peneroka (settler colonialism) oleh British khususnya, yang turut mengakibatkan pengusiran atau pemusnahan penduduk asli (seperti di AS, Kanada, Australia dan New Zealand) atau pengasingan mereka (seperti di Afrika Selatan).]
Bagi memerangi Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya, yang telah berundur ke dalam hutan, “askar British telah merekrut tenaga orang Dayak sebagai tentera perang dan penjejak. Pihak berkuasa penjajah menggalakkan amalan memenggal kepala pejuang MNLA yang terbunuh. Kedua-dua askar British dan Dayak mengumpul kepala musuh mereka. Ini dibenarkan ketika itu sebagai kaedah untuk mengenal pasti mereka yang terbunuh.”
Di balik kawat duriSelain daripada merekrut pejuang Dayak, pihak British berusaha untuk memutuskan hubungan MNLA daripada sokongan warga tempatan. Untuk melakukannya, pihak berkuasa penjajah melaksanakan Pelan Briggs, yang secara paksa menempatkan semula penduduk ke “Kampung Baru” yang dikawal ketat di balik kawat duri. Tujuannya adalah untuk “membiarkan pemberontak kekurangan makanan dan bekalan perubatan, dan menghalang mereka daripada menarik ahli-ahli dan pengikut baharu”.
Secara keseluruhannya, kerajaan penjajah British memaksa kira-kira 1.2 juta penduduk luar bandar – kira-kira satu pertujuh daripada penduduk Malaya pada masa itu – ke sekitar 600 penempatan baharu. Kira-kira 650,000 orang telah “dikumpulkan semula” di estet getah dan lombong bijih timah serta di sekitar bandar sedia ada. Seramai 573,000 lagi telah ditempatkan semula ke dalam 480 Kampung Baru, selalunya beberapa batu dari rumah asal mereka.
Sebuah poster dalam pameran itu menggambarkan bagaimana keadaan kampung-kampung ini:
Walaupun tiada dua kampung yang sama, ia berkongsi banyak ciri: pagar dawai berduri, pintu pagar yang dikawal ketat, menara pengawal, balai polis yang diletakkan di sebelah pintu masuk utama, dan susun atur berbentuk grid.
Sesetengah Kampung Baru dibina dari kosong; yang lain pula disesuaikan mengikut kampung atau penempatan sedia ada.
Deretan rumah – yang biasanya dibina oleh penduduk kampung sendiri di atas plot yang diperuntukkan – diletakkan bersebelahan pasar, sekolah, kuil, ladang dan bangunan komuniti. Orang ramai dipantau oleh pegawai British dan warga tempatan yang direkrut, untuk merekodkan pergerakan, menjadi perantara apabila terjadi pertikaian dan menguatkuasakan kawalan.
Tertakluk kepada perintah berkurung, pemeriksaan badan dan sekatan lain – termasuk memasak dan memakan bersama secara paksa – penduduk kampung sering memanggil kampung-kampung itu sebagai “kem tahanan” atau jizhongying. Istilah Kampung Baru atau sincun, yang diberikan oleh pihak berkuasa British, kedengaran terlalu neutral dan terlalu melembut maknanya.
Ramai orang Melayu, India dan Cina juga memainkan peranan penting dalam mempertahankan Kampung Baru sebagai anggota unit Home Guard. Pameran itu menyatakan bahawa orang ramai menyertai Home Guard atas sebab yang berbeza – ada yang berniat melindungi rumah dan keluarga mereka daripada serangan komunis, ada yang menyertainya sebagai cara untuk menyara kehidupan. Walau apa pun, pasukan tempatan merupakan bahagian penting dalam usaha penjajah untuk menentang pemberontakan.
Rakyat Kenya dan Cyprus juga dikenakan langkah-langkah paksaan dan penindasan yang serupa.
Kira-kira 80,000 rakyat Kenya yang terlibat dalam pemberontakan Mau Mau ditahan tanpa bicara di kem penempatan semula dan dikenakan hukuman dan penyeksaan secara kolektif.
Pertubuhan Kebangsaan Pejuang Cyprus (EOKA; The National Organisation of Cypriot Fighters), yang telah melancarkan kempen bersenjata untuk menamatkan pemerintahan penjajah British di Cyprus, turut menghadapi perintah berkurung, denda, penutupan kedai, penahanan tanpa bicara dan hukuman kolektif.
Berundurnya British juga menyaksikan ketegangan etnik yang semakin teruk. Pameran itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa British tidak keberatan untuk memburukkan hubungan antara komuniti – “pecah dan perintah” telah lama menjadi tunjang kepada penguasaan penjajah pasca-penaklukan.
Di Malaya, pihak British “menumpukan perhatian untuk memenangi sokongan daripada komuniti India dan Melayu, sekali gus memecah-belahkan lagi hubungan warga”.
Di Kenya, Mau Mau – terutamanya terdiri daripada warga etnik Kikuyu, Embu dan Meru –dipisahkan daripada kumpulan-kumpulan lain yang setia kepada British. “Kesetiaan diberi ganjaran oleh pihak berkuasa penjajah, contohnya melalui peruntukan tanah atau pekerjaan. Apabila Kenya mula bergerak ke arah pemerintahan sendiri, golongan yang setia mengawal kebanyakan jawatan penting dalam perniagaan dan politik.”
Di Cyprus, pihak British mendekati orang Siprus Turki, yang tidak terlibat dalam pemberontakan bersenjata EOKA untuk menamatkan pemerintahan British dan mencapai Enosis – penyatuan Cyprus dengan Greece.
Tujuh dekad kemudian, pemberontak dan pejuang di Malaya, Kenya dan Cyprus kini dilayan dengan kurang prejudis – jika pun tidak diiktiraf secara terang-terangan sebagai pejuang kebebasan. Ini adalah sebahagian daripada arus pemikiran semula penyahjajahan yang meluas.
Sebuah filem berdurasi tiga minit tahun 1960 yang dihasilkan oleh Unit Filem Malaya dimainkan secara berulang-ulang semasa pameran apabila para pengunjung menekan butang kecil. Ini adalah sebahagian daripada propaganda British yang menggambarkan pemberontak komunis sebagai penyamun dan pengganas yang mengancam keamanan dan ekonomi Malaya.
Sebuah filem berdurasi 22 minit yang lebih baharu, yang dikeluarkan oleh muzium pada 22 November 2025, mengambil pandangan yang jauh lebih adil, menggambarkan Darurat sebagai “konflik sebagai tindak balas terhadap pemberontakan yang kejam”. Tonton di sini:
Di bahagian akhir pameran, pihak muzium mengucapkan terima kasih kepada, antara lain, Profesor Jeremy Taylor, Dr Goh Ai Tee, Dr Tan Teng Phee dan Megan Hamilton, bersama pakar lain berkaitan sejarah Cyprus dan Kenya, yang bekerjasama dalam menguruskan pameran tersebut.
Mencari suara yang dibungkamMengiringi pameran tersebut ialah persidangan peringkat antarabangsa – Recovering Late-Colonial Malay(si)a: Histories and Legacies of Resettlement – yang diadakan di muzium itu pada 17–18 Mac.
Penganjur utama ialah Prof Taylor, seorang profesor sejarah di Universiti Nottingham. Melalui usaha beliau, persidangan itu dibiayai oleh geran UK Arts and Humanities Research Council. Matlamat beliau adalah “memupuk dialog di peringkat antarabangsa serta merentas disiplin tentang penempatan semula dan Kampung Baru – yang memberi tumpuan kepada suara-suara yang dibungkam, pengetahuan yang ditindas, epistemologi alternatif dan perspektif akar umbi tentang penempatan semula dan legasinya”. Penganjur bersama beliau ialah Dr Jenifer Chao dari Universiti De Montfort dan Dr Ling Teck Soon dari Universiti Malaya.
Terdapat empat panel utama dan beberapa sesi khas.
Panel mengenai Tadbir Urus Kampung Baru – Masa Lalu dan Masa Kini, yang dipengerusikan oleh Dr Goh, merupakan panel semua wanita dengan pembentangan oleh Dr Tan Miau Ing, Dr Helen Ting dan Dr Sing Pei Tan.
Panel Penempatan Semula dan Imaginari, yang dipengerusikan oleh Dr Rio Creech-Nowagiel, menampilkan Profesor Karl Hack – yang telah menulis sebuah buku penting mengenai Darurat – bersama pembentang-pembentang muda Dr Zhou Hau Liew dan Dr Oh Soon Hwa.
Panel Perbandingan Kes: Malay(si)a dan Seterusnya, yang dipengerusikan oleh Dr Ling, merangkumi pembentangan mengenai pengunduran British dari Kashmir (Dr Mallika Leuzinger dan Dr Majed Akhter), Free Villages di Saigon (Dr Adrian Kwong) dan Darurat Malaya melalui fotografi propaganda (Triparna Kalita).
Sesi berkenaan Identiti dan Penempatan Semula Cina, yang dipengerusikan oleh Prof Taylor, merangkumi pembentangan oleh Dr Ho Kee Chye mengenai nasib mereka yang dihantar pulang ke China antara tahun 1948 dan 1964, Zhen Hao Liew mengenai ladang-ladang buruh Cina di luar negara di mana mereka yang dihantar pulang itu tinggal dan bekerja, dan Randy Ho mengenai infrastruktur penjajah dan Darurat.
Sebuah sesi mengenai projek penyelidikan yang sedang dijalankan, Resettling the Colonial Lens, menampilkan Prof Taylor, Dr Chao, Dr Ling, Dr Creech-Nowagiel dan Dr Ma Ying.
Ini diikuti dengan sebuah sesi interaktif, Photo-Exhibition Co-Creation – Into and Beyond the Frame, oleh Dr Chao, yang meneroka beberapa gambar dari Darurat. Apakah kapsyen baharu yang boleh kita tambahkan pada gambar-gambar ikonik zaman penjajahan dan pengunduran penjajah yang menindas di masa lalu?
Sesi meja bulat penutup menampilkan Prof Francis Loh, Prof Karl Hack, Dr Tan Teng Phee, Dr Ting dan Jacky Chew, yang berkongsi pandangan mereka tentang pengalaman di lapangan.
Dari kem tahanan ke kebanggaan budayaUcaptama persidangan telah disampaikan oleh Francis Loh, yang telah mengkaji Kampung-Kampung Baru sejak akhir 1970-an. Beliau membahagikan sejarah Kampung Baru kepada lima fasa.
Dalam fasa pertama, Kampung-Kampung Baru pada awalnya dilihat sebagai masalah keselamatan. Rancangan Briggs menjadikan penempatan semula secara paksa sebagai komponen utama dalam perjuangan menentang komunis, dan ini menyumbang kepada kejayaan British dalam usahanya meneruskan agenda tersebut.
Dari awal, kampung-kampung tersebut dikategorikan sebagai “kekal”, “separuh kekal”, “sepatutnya sementara” dan “dijangka hilang” sebaik sahaja Darurat tamat.
Walaupun ada peruntukan yang besar untuk Kampung-Kampung Baru pada awal 1950-an, ia terhenti disebabkan oleh tuntutan-tuntutan yang bersaing dalam membasmi kemiskinan di kampung-kampung Melayu luar bandar. Kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, pembentukan Malaysia pada tahun 1963, “konfrontasi” dengan Indonesia, dan pemisahan Singapura pada tahun 1965 turut mendapat perhatian lebih sebaik sahaja Darurat tamat.
Sementara itu, keadaan di Kampung-Kampung Baru, terutamanya yang dikategorikan sebagai sementara, merosot dengan cepat.
Fasa kedua bermula pada tahun 1970-an, apabila Kampung-kampung Baru menjadi tumpuan semula selepas darurat baharu diisytiharkan sebagai tindak balas kepada ancaman keselamatan komunis yang baharu. Kampung-kampung tersebut dijadikan fokus dan ternyata, keadaannya telah semakin merosot dan usang.
MCA Perak mengambil berat tentang nasib kampungnya dan berjaya memasukkan Kampung-kampung Baru ke dalam rancangan pembangunan lima tahun di peringkat kerajaan persekutuan. Seorang pemimpin MCA telah dilantik sebagai menteri pertama yang bertanggungjawab bagi Kampung-kampung Baru, dan dana pembangunan kemudiannya menyusul.
Walau bagaimanapun, Dasar Ekonomi Baru (1971–90) mengutamakan komuniti bumiputera, dan Kampung-kampung Baru hanya menerima peruntukan yang sedikit. Kemiskinan pun berterusan.
Fasa ketiga, yang merangkumi tahun 1980-an hingga awal 1990-an, menyaksikan Kampung-kampung Baru kekal dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Strategi pembangunan Malaysia ketika itu mengutamakan perindustrian dan pembandaran berorientasikan eksport.
Manfaat diperoleh buat mereka yang tinggal dan bekerja di bandar dan zon perdagangan bebas. Bagi mencapai matlamat DEB, belia bumiputera dan bakal usahawan telah diarahkan ke arah sektor ekonomi moden.
Kampung-kampung Baharu berhampiran pusat bandar – seperti di sekitar Kuala Lumpur (di Subang dan Serdang) dan Ipoh (di Simee, Bercham dan Menglembu) – mendapat manfaat. Tetapi majoriti, di kawasan luar bandar dan separa bandar, tidak mendapat manfaat.
Kualiti sekolah rendah vernakular Cina jenis kebangsaan di Kampung-kampung Baru adalah rendah. Keputusan peperiksaan yang cemerlang di sekolah Cina sebahagian besarnya merupakan fenomena bandar, bukan fenomena Kampung Baru.
Penghijrahan golongan muda dari Kampung-kampung Baru untuk mencari pendidikan dan pekerjaan pun berlaku. Ya, kampung-kampung itu “dirangkul” – di bawah kawalan negara. Tetapi ia tidak disepadukan dalam erti kata membina identiti positif di mata pihak berkuasa.
Tempoh pajakan kediaman yang dikeluarkan pada awal 1950-an pun tamat tempohnya ketika itu. Namun, kerajaan negeri mahupun penduduk kampung nampaknya tidak cukup mendesak untuk menyelesaikannya. Nampaknya, keadaan hanya dibiarkan berterusan tanpa bergerak maju.
Ekonomi mengalami kemelesetan pada tahun 1986–87, dan rantau ini mengalami krisis kewangan pada tahun 1996–97.
Fasa keempat, dari akhir 1990-an, menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat bersama-sama dengan penerapan dasar globalisasi neoliberal. Modal baharu mengalir ke Kampung-kampung Baru, sebahagiannya kerana golongan muda, yang bekerja di luar negara, selalunya secara haram, menghantar wang pulang. Perumahan baharu, perniagaan kecil dan juga industri ringan berkembang. Jadi, Kampung-kampung Baru menerima nafas baharu.
Kerajaan juga menyediakan lebih banyak peruntukan semasa tempoh Malaysia Boleh ini. Menjelang tahun 2000, kebanyakan Kampung Baru telah menerima kemudahan dan perkhidmatan yang lengkap. Sekolah menengah turut dibina di kawasan luar bandar, termasuk di Kampung-kampung Baru. Lebih ramai golongan muda, termasuk belia Kampung Baru, mendaftar untuk pendidikan tinggi apabila pendidikan tinggi berkembang berikutan penswastaan dan pelaburan seterusnya dalam sektor ini.
Fasa kelima merangkumi tempoh pergolakan politik, Reformasi dan perubahan rejim baru-baru ini.
Perpecahan dalam gabungan pemerintah mencetuskan gerakan Reformasi, yang menarik minat golongan muda terhadap politik – mungkin buat kali pertama sejak tahun 1970-an.
Kebangkitan ini bertepatan dengan fenomena globalisasi dan kebangkitan teknologi maklumat dan media sosial. Walaupun tertarik kepada monokultur global, belia Malaysia turut mencari akar umbi dalam bentuk identiti etno-agama mereka sendiri.
Pada tahun 2008, pembangkang berkuasa di lima negeri pantai barat, tempat kebanyakan Kampung Baru tertumpu.
Pada tahun 2018, gabungan pemerintah Umno-Barisan Nasional telah dikalahkan buat kali pertama sejak kemerdekaan, mencetuskan keterujaan di seluruh negara, termasuk di Kampung Baru. Walaupun kerajaan Pakatan Harapan yang baharu tumbang dalam masa kurang daripada tiga tahun, perubahan dirasakan di kampung-kampung ini secara berterusan.
Pergolakan ini seiring dengan kebangkitan kelas menengah yang berpendidikan di Kampung Baru. Anak-anak mereka telah menamatkan pengajian, bekerja dan membina perniagaan yang berjaya. Salah seorang daripada mereka – Pua Khein-Seng dari Sekinchan – mempelopori teknologi pemacu kilat USB cip tunggal pertama di dunia, satu kejayaan yang menjadikan penyimpanan data mudah alih sebagai kenyataan hari ini.
Orang muda yang pernah meninggalkan Kampung Baru untuk mencari peluang telah mula kembali dan melancarkan perniagaan baharu. Buat pertama kali, penduduk Kampung Baru yang berpendidikan tinggi dan kelas menengah mula menulis naratif tentang komuniti mereka sendiri.
Terdapat minat yang belum pernah ada sebelumnya terhadap sejarah, identiti dan rasa kekitaan di kalangan penduduk Kampung Baru yang muda ini.
Naratif ini bukan lagi hanya tentang soal keselamatan, kemiskinan, mendapatkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan atau pembangunan. Ia tentang menghadapi masa lalu, memahami dugaan yang dialami dan daya tahan yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan warga emas mereka – daya tahan yang telah memastikan komuniti ini terus hidup selama 70 tahun.
Dengan pemahaman yang mendalam tentang asal usul mereka dan keadaan yang membawa mereka ke situasi semasa, mereka yakin boleh mengemudi Kampung Baru ke masa hadapan.
Semakin banyak video YouTube dan kandungan dalam talian tentang Kampung Baru yang dihasilkan, kebanyakannya oleh penduduk kampung sendiri, dengan mengetengahkan makanan tempatan, tarikan pelancongan dan tapak bersejarah. Selalunya, ada daripada mereka yang telah bercakap tentang asal usul mereka semasa Darurat.
Silakan tonton video tentang Kampung Baru seperti:
Atau kunjungilah destinasi luar bandar pada hujung minggu seperti Broga, Tanah Hitam, Gunung Hijau dan Bukit Berapit – yang dahulunya merupakan daerah kawalan komunis, kini menjadi tempat peranginan rekreasi.
Kampung-kampung Baru juga merupakan pengeluar buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang lumayan untuk bandar-bandar sekitar, daripada ladang-ladang di Kanthan Baru dan Kuala Luang di sekitar Chemor dan selatan Perak hinggalah kepada peladang durian di Raub, Bentong dan bahagian lain di Pahang.
Ramai petani ini mengadu bahawa mereka masih mengusahakan tanah dengan lesen pendudukan sementara tanpa jaminan pemilikan.
Walau bagaimanapun, penanaman padi di Sekinchan, Chui Chak dan Langkap telah diberikan geran sejak sebelum Darurat. Sekinchan juga mempunyai sebuah muzium yang dikhaskan kepada pengeluaran padi.
Selain video-video ini, Icomos Malaysia – cawangan Malaysia bagi Majlis Antarabangsa mengenai Monumen dan Tapak – sedang mendapatkan inskripsi Unesco untuk Kampung-kampung Baru sebagai tapak yang mempunyai kepentingan sejarah dan warisan, berikutan penempatan semula paksa kira-kira sejuta orang, satu pertujuh daripada jumlah penduduk Malaya pada awal 1950-an.
Ini merupakan usaha berterusan jawatankuasa kerja Kampung Baru Icomos Malaysia, yang diketuai oleh golongan profesional yang membesar di Kampung Baru. Inisiatif ini sendiri merupakan sebahagian daripada naratif baharu yang mereka tulis.
Sebuah kisah yang masih dikarangAmat menggembirakan apabila pameran mengenai pengunduran penjajah British di Malaya, Cyprus dan Kenya ini telah diadakan di Muzium Perang Imperial di London. Begitu juga dengan penganjuran persidangan antarabangsa mengenai Kampung Baru dan proses penempatan semula.
Seruan untuk memperkuatkan suara-suara yang sebelum ini tidak didengari, menggali pengetahuan yang tertindas dan mempertimbangkan perspektif asas serta epistemologi alternatif menjadikan kedua-dua acara ini amat dialu-alukan. Tujuh puluh tahun kemudian, tiba masanya untuk memulihkan dan memikirkan semula Darurat dan Kampung Baru.
Dua perkara perlu diberi perhatian.
Pertama, sekumpulan kecil ahli sejarah menyeru agar minat dan keterujaan terhadap sejarah Malaysia dikembalikan.
Terlalu lama, kajian sejarah Malaysia ini telah dipinggirkan. Hanya segelintir orang yang mengambil jurusan sejarah di universiti melainkan mereka yang bergelut dalam bidang akademik atau berhasrat untuk mengajar – laluan kerjaya yang kini dipandang janggal oleh ramai orang.
Tanggapan negatif ini sebahagian kecilnya berpunca daripada lebih 60 tahun kawalan Umno-BN ke atas kurikulum sejarah sebelum penyingkiran mereka pada tahun 2018.
Semoga kurikulum subjek sejarah ini dapat menjalani reformasi tersendiri dan memberi inspirasi kepada generasi baharu peminat sejarah.
Kedua, adalah sesuatu yang menggembirakan kerana ramai individu yang mendalami persoalan sejarah, warisan, identiti dan jiwa Kampung Baru ialah mereka yang membesar di sana.
Mereka berjaya walaupun taraf pendidikan mereka agak rendah di sekolah rendah vernakular Cina jenis kebangsaan yang didiskriminasi di Kampung Baru. Ramai yang terpaksa berpindah ke sekolah awam dan swasta bagi melanjutkan pelajaran menengah mereka. Sebilangan kecil telah melanjutkan pelajaran ke universiti dan kolej, di dalam dan luar negara.
Hari ini, mereka turut menerima pendidikan yang sama seperti golongan yang menulis naratif terdahulu tentang Kampung Baru. Dan mereka mempunyai aset yang sukar diperoleh oleh orang luar dengan cepat: pengetahuan tempatan yang diperoleh daripada membesar dan belajar “di rumah sendiri”.
Ia merupakan sebuah penghormatan untuk mengembara bersama pencerita Kampung Baru yang muda ini – beberapa daripada mereka turut membantu mengurus pameran muzium dan hadir di persidangan antarabangsa di London. Prof Taylor layak menerima ucapan terima kasih kerana memudahkan kedua-dua acara dan mendekati pencerita muda tentang sejarah Kampung Baru alternatif ini.
Ada tenaga dan harapan untuk kita meneruskan perjalanan ini ke masa hadapan.
Dr Francis LohEditor bersama, surat berita Aliran2 April 2026
Dr Francis Loh Kok Wah, bekas profesor dalam bidang politik di Universiti Sains Malaysia, pertama kali menjalankan penyelidikan di beberapa Kampung Baru di utara Kinta pada akhir 1970-an.
Tesis PhD beliau diterbitkan sebagai Beyond the Tin Mines: Coolies, Squatters and New Villagers in the Kinta Valley, Malaysia, c 1880–1980 (Singapura: Oxford University Press, 1988). Sebuah kajiannya yang lain tentang Kampung Baru pada tahun 1980-an menghasilkan tulisan bertajuk Chinese New Villages: Ethnic Identity and Politics dalam The Chinese in Malaysia, disunting oleh Tan Chee Beng and Lee Kam Heng (Singapore: Oxford UP, 1999). Kedua-duanya boleh dimuat turun secara percuma.
Tonton juga videonya: New Villages in Malaysia: Origins and Evolution, yang diterbitkan oleh Icomos Malaysia pada tahun 2021.
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free

