Agrobank Kuala Perlis, cawangan ke-28 di utara
13 hours ago
KUALA PERLIS - Agrobank memperluaskan perkhidmatan kewangannya dengan pembukaan cawangan ke-28 di wilayah utara di sini, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati akses 24 jam lebih mudah dan pantas.Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, selain menyediakan sokongan pembiayaan dan khidmat nasihat kepada usahawan, nelayan, petani dan agropreneur, ia juga menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank sebagai projek perintis pertama menyediakan akses tunai segera kepada komuniti.Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membantu mengembangkan perniagaan secara lebih mampan serta meningkatkan produktiviti ekonomi setempat."Inisiatif ini juga selari dengan komitmen Agrobank dalam memperluas keterangkuman kewangan, khususnya kepada komuniti luar bandar dan golongan yang masih mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan kewangan," katanya ketika hadir ke perasmian Agrobank Kuala Perlis pada Rabu.Perasmian cawangan tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, pembukaan berkenaan merupakan langkah strategik dalam memperluas perkhidmatan kewangan memandangkan Kuala Perlis bukan sahaja berperanan sebagai pintu masuk utama di utara Semenanjung, malah turut menjadi pusat aktiviti ekonomi komuniti pesisir melibatkan sektor perikanan, agromakanan dan perusahaan kecil tempatan."Sehubungan itu, kehadiran Agrobank di sini adalah untuk memastikan perkhidmatan kewangan dapat diakses dengan lebih mudah, cepat dan selaras keperluan komuniti setempat," katanya.Menurutnya, Agrobank Kuala Perlis dilengkapi kemudahan ATM, urus niaga tunai, deposit dan pengeluaran wang, membolehkan pelanggan menikmati akses lebih mudah dan pantas selari dengan peningkatan penggunaan transaksi layan diri.Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, rakyat di negeri itu diharap memanfaatkan kemudahan disediakan, khususnya bagi pengusaha dalam bidang pertanian, perikanan dan industri asas tani yang menjadi tunjang ekonomi setempat."Ambillah peluang untuk menggunakan perkhidmatan ditawarkan, termasuk Ar-Rahnu Agrobank yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Kuala Perlis."Ia mencerminkan usaha bersepadu dalam membentuk masyarakat celik kewangan, progresif serta berdaya tahan dalam menghadapi arus perubahan semasa," titah baginda.Baginda dalam masa sama, menyeru agar lebih banyak pihak tampil mengorak langkah menjalin kerjasama strategik seumpama itu."Sokongan daripada rakan sinergi akan mempercepat pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan, seterusnya memperluas manfaat kepada rakyat secara lebih berkesan."Inisiatif yang digerakkan ini diyakini mampu memberikan impak berpanjangan serta mempertingkat taraf hidup komuniti di Kuala Perlis dan seluruh Negeri Perlis," titah baginda....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

