Permohonan Tahanan Rumah Ditolak, Najib Razak Kekal Jalani Hukuman Di Penjara

1 day ago

Permohonan Tahanan Rumah Ditolak, Najib Razak Kekal Jalani Hukuman Di Penjara

Bekas perdana menteri negara, Najib Razak gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah. 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan undang-undang Najib berhubung kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

Menurut Hakim Amarjeet Singh, semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah addendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata. 

Mahkamah memutuskan afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu. 

“Dalam afidavit Ahmad Zahid, beliau berkata dia dimaklumkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) mengenai kewujudan titah adendum itu dan Tengku Zafrul memberitahunya bahawa Seri Paduka telah menunjukkan perintah itu kepadanya dan bahawa Tengku Zafrul juga telah mengambil gambar titah itu.

“Ahmad Zahid berkata dia melihat gambar titah adendum itu dalam telefon Tengku Zafrul, dikatakan mempunyai tandatangan Yang di-Pertuan Agong. Kenyataan Ahmad Zahid juga merupakan khabar angin semata-mata, dengan sumber maklumat dan kefahamannya ialah Tengku Zafrul.

"Ahmad Zahid sendiri tidak mengetahui mengenai titah adendum itu sendiri melainkan apa yang didengari daripada Tengku Zafrul,” kata hakim dalam penghakimannya.  

Hakim Amarjeet berkata afidavit Wan Rosdy juga menyatakan bahawa sumber maklumat beliau mengenai titah adendum itu ialah Tengku Zafrul, justeru kenyataan dibuat Wan Rosdy juga khabar angin. 

Hakim itu berkata Najib selaku pemohon semakan kehakiman tidak pernah cuba mendapatkan Zafrul untuk mengesahkan kewujudan titah addendum itu sejak awal lagi. 

Oleh itu, Hakim Amarjeet menyatakan kedua-dua afidavit yang difailkan Najib itu, hanya mengandungi kenyataan semata-mata tanpa menyatakan sumber dan kefahamannya terhadap titah adendum itu. 

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memaklumkan Amarjeet bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.  

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah agar kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib juga memohon perintah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. 

 

Sumber:

...

Read the fullstory

It's better on the More. News app

✅ It’s fast

✅ It’s easy to use

✅ It’s free

Start using More.
More. from Rileklah ⬇️
news-stack-on-news-image

Why read with More?

app_description