Pemilihan PKR: Tidak akan berlaku perpecahan dalam parti
1 hour ago

JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fahmi Fadzil yakin tidak akan berlaku sebarang perpecahan di dalam parti PKR pasca pemilihan peringkat pusat parti itu esok.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi juga percaya bahawa perjalanan proses pengundian yang akan bermula 8 pagi hingga 5 petang itu akan berjalan tanpa sebarang insiden pergaduhan atau perkara tidak diingini.
Beliau berkata ini dapat disaksikan pada situasi pemilihan di peringkat cabang yang berlangsung April lepas tanpa sebarang insiden pergaduhan atau kerosakan harta benda.
“Jadi saya jangka Insha-Allah, proses pemilihan kali ini kita harapkan lebih baik, dan tidak berlaku lagi kejadian paling buruk seperti di Melaka (Pemilihan PKR 2022) sebaliknya kita akan peroleh perpaduan dan bersatu hati.
“Malah kawan-kawan di akar umbi pun saya temui seperti ketika di Langkawi (Kedah), kami duduk semeja biar pun kumpulan berbeza, namun rata-rata mahu parti bersatu-padu untuk bersama beri kekuatan pada Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk laksana reformasi di peringkat Persekutuan,” katanya di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi taklimat kepada media mengenai proses perjalanan Kongres Nasional PKR dan pemilihan peringkat pusat, yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata parti mempunyai cara tersendiri untuk menyantuni calon yang tidak berjaya mendapat tempat dalam pemilihan parti bagi sesi 2025 hingga 2028 itu.
“Saya percaya selepas pemilihan ini dalam tempoh sebulan dua, pimpinan akan turun ke cabang-cabang negeri untuk rapatkan saf, eratkan semula silaturahim.
“Parti sentiasa fikir cara untuk kumpul, rangkum dan dibawa bersama seluruh kekuatan dan akan disediakan ruang dan peluang, mungkin jawatan atau fungsi tertentu (kepada calon tewas) supaya semua yang bertanding masih boleh bersama parti, sumbang idea dan tenaga terutama di peringkat pusat,” katanya.
Ditanya mengenai proses pemilihan yang akan melibatkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian, Fahmi berkata beliau berpuas hati dengan persiapan dilakukan.
“Saya sudah melawat dua lokasi pemilihan dan satu lokasi kongres, saya lihat kita sudah bersedia, namun ada beberapa aspek termasuk capaian internet serta ruang yang disediakan untuk rakan-rakan media perlu diperkemas bagi pastikan mereka tidak menghadapi apa-apa masalah.
“Untuk aspek penambahbaikan itu kita sudah minta kepada beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi pastikan semua perkara sepanjang proses pemilihan itu tiada gangguan,” katanya.
Ditanya mengenai ucapan dasar Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyempurnakan perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 malam esok, Fahmi berkata aspek penyatuan parti antara perkara yang beliau percaya akan disentuh Anwar.
“Mesej yang saya percaya akan disampaikan (Presiden) juga ialah bagaimana kita perlu satukan parti setiap kali selepas pemilihan.
“Juga akan semestinya menyentuh perihal pentadbiran negara, usaha kita membawa agenda reformasi di Persekutuan, apakah kejayaan-kejayaan dan cabaran-cabaran dihadapi termasuk masalah melibatkan perang dagang tarif dan perkara-perkara seperti itu,” katanya.
Kongres Nasional PKR 2024/2025 bermula malam ini dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Kongres Wanita Pusat oleh Fuziah.
...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free