PMT & Bilik Sensori: MAIWP Salur RM2.41 Juta Bantu Pelajar
1 hour ago

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN) hari ini melancarkan Program Makanan Tambahan (PMT) dan Bilik Integrasi Sensori, memanfaatkan dana zakat berjumlah RM2.41 juta demi kesejahteraan pelajar asnaf dan murid berkeperluan khas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada pelajar daripada kelompok asnaf dan golongan istimewa tercicir daripada sistem pendidikan negara.
Daripada jumlah itu, RM2.34 juta diperuntukkan bagi menjayakan PMT di 15 sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“PMT ini menyasarkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah agar mereka tidak ke sekolah dalam keadaan lapar.
“Sebanyak RM70,000 lagi digunakan bagi pembinaan Bilik Integrasi Sensori yang lengkap dengan peralatan stimulasi pembelajaran,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baharu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Mohd Na’im turut memaklumkan PMT merupakan inisiatif MAIWP yang berbeza daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Kementerian Pendidikan (KPM) namun berkongsi matlamat yang sama dalam menyediakan pemakanan sihat demi meningkatkan prestasi pelajar.
“Ini sebahagian daripada usaha kita memperluaskan manfaat zakat secara berfokus dan inklusif. Kita mahu pelajar asnaf dan anak-anak istimewa ini menikmati peluang pendidikan yang sama rata dan berkualiti,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata MAIWP terus komited menyantuni sektor pendidikan apabila RM103.49 juta diagihkan sepanjang tahun lepas menerusi Kluster Pendidikan, melibatkan 38 skim bantuan untuk golongan asnaf.
Beliau berkata dana itu meliputi pelbagai bentuk sokongan pendidikan termasuk bantuan pakaian dan peralatan persekolahan, biasiswa, tuisyen, bantuan ke institut pengajian tinggi (IPT), komputer riba serta biasiswa pelajar cemerlang dan hafazan al-Quran.
“Majlis ini menjadi bukti jelas bagaimana zakat boleh dimanfaatkan dengan penuh integriti dan strategik demi memastikan kesejahteraan pendidikan anak-anak asnaf dan istimewa terus terbela,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada KPM atas sumbangan zakat terbesar dalam sektor kerajaan, dengan kutipan meningkat 4.8 peratus kepada RM9.7 juta tahun ini berbanding RM9.2 juta pada 2023.
Daripada jumlah itu, beliau berkata RM1.2 juta telah disalurkan kepada YDN menerusi sistem wakalah zakat bagi melaksanakan program pendidikan.
“Gabungan sumber zakat dan sokongan kementerian membolehkan program seperti ini dilaksanakan secara menyeluruh sekali gus memberi manfaat langsung kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.
...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free