Ringgit dijangka makin kukuh tahun depan
1 hour ago
PENGUKUHAN ringgit sejak suku ketiga 2025 menimbulkan persoalan mengenai ketahanan dan trajektori mata wang negara dalam persekitaran global yang masih tidak menentu.Pada 5 Disember 2025, ringgit mencatat RM4.1150 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertinggi tahun ini dan muncul antara mata wang paling kukuh di Asia.Melihat kepada data makro, aliran modal serta dinamika global, pengukuhan ringgit bukan fenomena tunggal tetapi hasil interaksi kompleks antara faktor domestik dan luaran.Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Profesor Madya Dr Norliza Che Yahya berkata, antara pendorong utama pengukuhan ringgit adalah asas ekonomi Malaysia yang kukuh, penurunan kadar faedah oleh Federal Reserve AS dan peningkatan keyakinan pelabur menerusi aliran masuk modal asing."Ringgit turut mendapat manfaat apabila dolar AS melemah sejajar dengan jangkaan kadar dasar faedah di AS akan lebih 'longgar' dengan potensi pemotongan kadar yang menurunkan permintaan global terhadap dolar."Ini dijangka dapat terus meningkatkan permintaan terhadap mata wang pasaran yang sedang pesat membangun seperti ringgit."Keyakinan global terhadap bon Malaysia turut meningkat menjadikan Malaysia hab pelaburan lebih menarik berbanding beberapa ekonomi serantau yang berisiko tinggi secara politik atau fiskal," katanya kepada Sinar Harian.Buktinya, pada tahun ini, pelabur asing telah membeli hampir RM16.52 bilion bon Malaysia, sekali gus menyokong permintaan dan kestabilan ringgit yang kini muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia dengan kenaikan sekitar lapan peratus, menandakan sembilan sesi kenaikan berturut-turut yang juga didorong sentimen pelabur yang positif dan memberangsangkan.Menurut Norliza, dari sudut jangka pendek, ringgit banyak disokong momentum aliran masuk modal asing ke pasaran bon serta kelemahan dolar AS yang boleh berubah jika sentimen global bertukar arah.Namun asas domestik seperti inflasi yang kekal terkawal, OPR yang stabil, pertumbuhan ekonomi kukuh serta peningkatan pelaburan menunjukkan potensi kestabilan yang lebih berpanjangan."Ini bermaksud pengukuhan ringgit bukan sekadar lonjakan sementara tetapi berpeluang menjadi trend lebih mampan selagi dasar fiskal dan monetari terus kukuh serta pelaburan asing ke negara ini berterusan," katanya.RisikoBeliau turut mengingatkan, kebergantungan yang tinggi kepada modal asing juga membawa risiko kerana perubahan sentimen global."Ketika ini, beberapa pengurus aset antarabangsa utama telah menyatakan keyakinan mereka terhadap prospek pasaran bon Malaysia."Data Bloomberg juga menunjukkan lebih kurang AS1.3 bilion dana asing telah dimasukkan ke dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia pada November 2025."Ini menunjukkan bahawa pasaran bon Malaysia telah menjadi antara yang berprestasi tinggi tahun ini dan dijangka akan kekal di prestasi sama," ujarnya.Ditanya apa risiko utama dari geopolitik, ekonomi global atau turun naik harga komoditi yang boleh menjejaskan ringgit menjelang hujung tahun, Norliza berkata, antara risiko utama yang boleh menjejaskan ringgit termasuk kemungkinan perubahan dasar monetari di AS jika Federal Reserve kembali ‘ketat’ dan menaikkan kadar faedah, dolar AS berpotensi mengukuh semula sekali gus menekan ringgit.StabilNorliza bagaimanapun optimis, ringgit berpotensi terus mengukuh pada awal tahun depan sekiranya aliran masuk modal asing kekal positif, ekonomi domestik terus stabil dan dolar AS melemah berikutan jangkaan dasar Federal yang lebih ‘longgar’."Saya juga melihat secara positif ringgit mampu kekal dalam fasa kukuh disokong struktur ekonomi Malaysia yang stabil serta pengurusan fiskal dan monetari yang lebih berhati-hati sekali gus membuka ruang kepada kestabilan jangka sederhana," katanya.Dalam pada itu, mengambil kesempatan daripada situasi ringgit yang stabil, rakyat disarankan mengambil langkah kewangan bijak untuk memanfaatkan keadaan ini terutamanya dari segi simpanan dan pelaburan."Pertama, meningkatkan simpanan dalam mata wang tempatan (ringgit) atau instrumen pelaburan domestik seperti deposit tetap dan dana unit amanah tempatan adalah wajar kerana nilai tukaran yang stabil mengurangkan risiko pertukaran mata wang, sekali gus memberikan pulangan yang lebih terjamin."Kedua, pelaburan dalam aset tempatan seperti hartanah atau pasaran saham Malaysia akan jadi lebih menarik apabila ringgit stabil kerana kestabilan mata wang memberi keyakinan terhadap nilai pelaburan dan risiko turun naik kadar tukaran berkurang," ujarnya.Kesimpulannya, pengukuhan ringgit ketika ini bersandarkan asas domestik yang makin kukuh serta keyakinan pelabur asing terhadap prospek pelaburan di Malaysia.Namun seperti semua pergerakan mata wang negara membangun, ringgit tetap sensitif kepada faktor global, terutamanya dasar monetari di AS dan aliran modal asing."Walaupun outlook kekal positif untuk jangka pendek hingga sederhana, penting untuk kita terus memantau indikator global dan domestik secara holistik," kata beliau....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

