Thailand lancar serangan udara ke atas Kemboja
1 hour ago
BANGKOK – Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada Isnin susulan pertempuran baharu yang tercetus di sepanjang sempadan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap runtuhnya pelan damai yang dimediasi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dua bulan lalu.Kedua-dua negara saling menuduh pihak lawan memulakan serangan pada awal pagi Isnin selepas beberapa minggu ketegangan meningkat, termasuk keputusan Thailand menggantung pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang sebelum ini dicapai.Dalam kenyataan rasmi, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memaklumkan bahawa serangan udara itu hanya menyasarkan kemudahan ketenteraan, termasuk depot senjata, pusat arahan dan laluan logistik yang dinilai sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan Thailand.Menurut RTAF, Kemboja dilapor menggerakkan aset ketenteraan berat, mengubah posisi unit tempur dan menyediakan elemen sokongan tembakan, tindakan yang didakwa berpotensi mencetuskan polemik ketenteraan di kawasan sempadan.Seorang pegawai tentera Thailand berkata, serangan udara itu merupakan tindakan balas selepas satu serangan awal pagi yang mengorbankan seorang anggotanya."Sasaran berada di kawasan kedudukan sokongan senjata Kemboja di Laluan Chong An Ma, kerana mereka menggunakan artileri dan pelancar mortar untuk menyerang Pangkalan Anupong di pihak Thailand, mengakibatkan seorang anggota maut dan dua lagi cedera," kata Mejar Jeneral Winthai Suvaree.Thailand turut mendakwa Kemboja mula mengebom kawasan sempadannya sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan dakwaan Thailand itu dan menyifatkan ia sebagai 'maklumat palsu'."Berpegang pada semangat menghormati semua perjanjian terdahulu dan menyelesaikan konflik secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, Kemboja tidak membalas serangan tersebut dan terus memantau keadaan dengan penuh berhati-hati," kata kementerian itu dalam kenyataan di platform X.Dalam kenyataan berasingan, Angkatan Tentera Kemboja pula menuduh Thailand melancarkan serangan pada jam 5.04 pagi waktu tempatan, selepas beberapa hari didakwa melakukan provokasi di kawasan sempadan.Menurut Thailand, kira-kira 70 peratus penduduk awam telah dipindahkan dari bandar-bandar berhampiran sempadan.Seorang penduduk dilaporkan meninggal dunia ketika proses evakuasi akibat keadaan kesihatan sedia ada.Kedua-dua negara pernah berperang selama lima hari pada Julai lalu, mengorbankan puluhan orang dan memaksa hampir 200,000 penduduk dipindahkan.Gencatan senjata awal dicapai pada 28 Julai selepas Trump mengadakan perbincangan telefon dengan pemimpin kedua-dua negara, sebelum perjanjian diperluas dan ditandatangani di Kuala Lumpur pada penghujung Oktober dalam majlis yang disaksikan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Namun, kurang dua minggu selepas ditandatangani, perjanjian itu mula goyah apabila Thailand menggantung pelaksanaannya susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan beberapa anggotanya.Thailand dan Kemboja telah berdepan ketegangan berulang sejak beberapa dekad lalu berhubung tuntutan sempadan yang bertindih.Kedua-dua pihak menuding jari antara satu sama lain sebagai pencetus terbaru pertempuran kali ini.-Agensi...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

