JBPM Pahang kesan lapan titik panas kebakaran hutan, belukar
1 hour ago
KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengesan lapan titik panas melibatkan kebakaran hutan dan belukar di tiga daerah di Pahang ketika ini.Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, enam lokasi kebakaran dikesan di Temerloh melibatkan kawasan Kemajuan Tanah Meh, Ladang Kemasul, Kampung Bukit Relang dan Kampung Paya Laman.Menurutnya, satu titik panas dikesan di daerah Pekan iaitu di Ladang RISDA Kampung Mempelas, manakala satu lagi di Kampung Bukit Raka, Bentong."Setakat ini, empat kes kebakaran hutan dilaporkan melibatkan kawasan belukar, hutan dan tanah gambut dengan keluasan keseluruhan hampir 12 hektar di Rompin dan Pekan."Kes pertama melibatkan kebakaran belukar seluas 0.8 hektar di Tanjung Gemok, Rompin, diikuti kebakaran tanah gambut seluas 0.8 hektar di Kampung Baharu Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan serta dua kes kebakaran hutan iaitu di Ladang Ibam, Jalan Muadzam Shah–Kuala Rompin (8.09 hektar) dan Hutan Simpan Menchali, Jalan Nenasi–Rompin (2.1 hektar)."Setakat ini semua kebakaran hutan yang dilaporkan berjaya dipadamkan segera kecuali kes di Jalan Muadzam Shah–Kuala Rompin yang lambat dimaklumkan sehingga kebakaran merebak melibatkan kawasan lebih luas," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Tahunan 2026 JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota, di sini, pada Rabu.Mohd Razam berkata, sepanjang Januari lalu, pihaknya menerima 82 panggilan kes kebakaran terbuka berbanding hanya sembilan kes dalam tempoh sama tahun lalu.Katanya, pada Januari 2025, tiada panggilan melibatkan kebakaran hutan diterima, sebaliknya jumlah itu meningkat kepada tujuh kes tahun ini."Begitu juga kes kebakaran belukar atau lalang yang meningkat daripada tujuh kes pada Januari 2025 kepada 65 kes tahun ini," katanya.Tambah beliau, susulan peningkatan kes kebakaran terbuka tahun ini, JBPM Pahang kini bersiap sedia menggerakkan anggota dan jentera bagi menghadapi sebarang kebakaran atau operasi penyelamatan."Pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko sentiasa dijalankan pada waktu kemuncak serta sentiasa berwaspada terhadap maklumat terkini."Pihak bomba juga sentiasa berhubung dengan agensi penyelamatan dan bantuan lain sepanjang musim kemarau, di samping melakukan rondaan secara berkala bersama agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan pemilik ladang bagi memastikan kebakaran terbuka dapat dicegah pada peringkat awal," katanya.Sementara itu, Mohd Razam berkata, pihaknya turut memberi perhatian terhadap risiko kebakaran dan letupan melibatkan mercun sempena musim perayaan terutama Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang.Menurutnya, setakat ini tiada keperluan untuk melakukan pemeriksaan ke atas premis yang dijadikan stor simpanan mercun."Bagaimanapun, sekiranya terdapat aduan aktiviti penyimpanan mercun dalam jumlah besar di tempat tidak sesuai, pihak kami akan menilai keperluan keselamatan di kawasan itu. Jika didapati tidak sesuai, pemilik akan diminta supaya tidak menjadikan premis terbabit sebagai stor penyimpanan."Pihak bomba menasihati peniaga atau pembekal mercun supaya meningkatkan aspek keselamatan stor penyimpanan bagi mengelakkan risiko kepada orang ramai," katanya....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

