PM lancar Skim Paduri Madani, perkasa usahawan wanita B40

1 hour ago

PM lancar Skim Paduri Madani, perkasa usahawan wanita B40
IPOH - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu melancarkan Skim Paduri Madani di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bertujuan memperkasakan usahawan wanita terutamanya daripada golongan B40.Inisiatif yang menyasarkan 29,000 usahawan wanita itu terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,880 atau pendapatan per kapita RM1,470.Anwar menerusi ucapannya melahirkan rasa bangga terhadap disiplin tinggi yang ditunjukkan golongan wanita terutama dalam menjelaskan pinjaman mereka berdasarkan rekod pembayaran balik yang cemerlang menerusi AIM."Saya bangga, baru ni kita sambut Hari Wanita, wanita tu siapa? Ibu kita, isteri kita, anak kita, kakak kita, adik kita. Jadi kalau kita faham begitu, selama ini tak ada program besar khusus untuk wanita. "Jadi AIM beri galakan supaya wanita buktikan pinjam, bayar hutang, sebab apa, dia (wanita) tabah, ada wibawa, ada nilai, ada akhlak. Kamu pinjam, ada perjanjian mesti bayar, itu tuntutan al-Quran juga, dia tahu tanggungjawabnya," kata beliau pada majlis pelancaran skim tersebut di Ipoh pada Sabtu.Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussain Syed Junid.Selari matlamat penubuhan AIM mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan, pemohon yang telah disenarai hitam atau diisytiharkan muflis tidak perlu menyediakan penjamin atau cagaran bagi memohon skim tersebut. Inisiatif tersebut bersifat inklusif dengan menyasarkan tujuh kumpulan utama iaitu wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam serta wanita B40 di kawasan bandar dan luar bandar.Skim berkenaan menawarkan pembiayaan bermula daripada RM3,000 hingga RM30,000 melalui kategori Ekonomi (i-Paduri Mesra, i-Paduri Srikandi dan i-Paduri Muda) serta maksimum RM15,000 bagi kategori Sosial (i-Paduri Wibawa, i-Paduri Sejahtera, i-Paduri Bestari dan i-Paduri Penyayang).Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memuji disiplin tinggi Sahabat AIM dalam menjelaskan bayaran pembiayaan sehingga merekodkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang jauh lebih rendah berbanding golongan kaya."Tahun 2025 hampir 0 peratus yang tak bayar (golongan kaya). Lagi kaya lagi susah nak bayar hutang, yang bayar hutang ini orang miskin, sebab itu saya bangga dengan AIM," kata beliau.Perdana Menteri berkata, jumlah keseluruhan pembiayaan AIM mencatatkan peningkatan kepada RM2.8 bilion tahun lepas berbanding RM2.5 bilion pada 2023, dengan Sabah serta Sarawak masing-masing merekodkan bilangan Sahabat Usahawan tertinggi seramai 53,000 dan 43,000 orang."Kelantan menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM500 juta bagi 2025 manakala Kedah dan Terengganu masing-masing sebanyak RM325 juta serta RM319 juta, sekali gus menepis dakwaan kononnya kerajaan meminggirkan kebajikan negeri berkenaan," kata beliau.Dalam pada itu, Anwar berkata, selain peruntukan sedia ada, Kerajaan Madani turut menyalurkan dana pinjaman baharu berjumlah RM200 juta kepada AIM bagi memastikan kelangsungan agenda pemerkasaan ekonomi usahawan mikro di negara ini.Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Usahawan Cemerlang Negeri Perak kepada tiga penerima iaitu Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman (Shazam Catering & Food Services), S Manjula (Nhavin Enterprise) dan Lee Lai Wan (Lee Kam Sing Herbs Tree Enterprise). Beliau turut menyerahkan cek cura pembiayaan Skim Paduri Madani berjumlah RM3,000 setiap seorang kepada lima Sahabat Usahawan baharu dari Parlimen Tambun, selain melawat pameran produk usahawan berjaya yang mewakili setiap negeri.Sementara itu, AIM dalam satu kenyataan memaklumkan sejak institusi pembiayaan mikro itu diwujudkan 39 tahun lepas, sebanyak RM39.1 bilion pembiayaan telah dikeluarkan kepada lebih 1.18 juta peminjam.Bagi tempoh Januari hingga April 2026, prestasi pembiayaan AIM kekal memberangsangkan dengan RM1.07 bilion telah disalurkan kepada 131,105 peminjam. - Bernama      ...

Read the fullstory

It's better on the More. News app

✅ It’s fast

✅ It’s easy to use

✅ It’s free

Start using More.
More. from Sinar Harian ⬇️
news-stack-on-news-image

Why read with More?

app_description