Saham Asia terus kembali merosot akibat kebimbangan AI, konflik Asia Barat

1 hour ago

Saham Asia terus kembali merosot akibat kebimbangan AI, konflik Asia Barat
HONG KONG – Pasaran saham Asia kembali merosot pada Jumaat susulan kebimbangan berterusan terhadap sektor kecerdasan buatan (AI) selepas unjuran pendapatan yang mengecewakan daripada gergasi cip, Broadcom, selain pelabur turut memantau perkembangan rundingan damai di Asia Barat yang dilihat semakin perlahan.Selepas menjadi pemacu utama kenaikan pasaran ke paras rekod tahun ini, syarikat teknologi kini berdepan tekanan jualan berikutan kebimbangan bahawa pelaburan besar-besaran dalam AI mungkin telah melampaui keperluan sebenar, manakala penilaian saham dianggap terlalu tinggi.Broadcom pada Rabu lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur apabila unjuran hasil bagi suku ketiga syarikat itu berada di bawah jangkaan pasaran. Perkembangan itu menyebabkan jualan besar-besaran dalam indeks Nasdaq di Wall Street apabila pelabur mengambil keuntungan dan mengalihkan pelaburan ke sektor lain.Kesan kejatuhan itu turut merebak ke Asia, dengan pasaran saham Korea Selatan dan Jepun yang banyak didominasi syarikat teknologi, susut daripada paras tertinggi yang dicapai sebelum ini.Pasaran saham Korea Selatan menjunam hampir tujuh peratus pada satu ketika sebelum ditutup 5.5 peratus lebih rendah, selepas susut 1.8 peratus sehari sebelumnya. Indeks Nikkei Jepun pula kehilangan lebih satu peratus, menyamai kejatuhan pada Khamis.Pelabur turut menilai penyenaraian awam permulaan (IPO) syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX, yang menyasarkan kutipan AS$75 bilion (RM318 bilion), sekali gus berpotensi menjadi IPO terbesar dalam sejarah.Menurut dokumen kawal selia, syarikat itu akan menawarkan lebih 550 juta saham pada harga AS$135 (RM535) sesaham minggu depan, yang boleh meletakkan nilai syarikat pada AS$1.8 trilion (RM7.13 trilion)Pasaran di Hong Kong, Sydney, Shanghai, Singapura, Mumbai, Bangkok dan Taipei turut mencatatkan penurunan, manakala Wellington dan Manila mencatatkan kenaikan kecil.Di Jakarta, pasaran mencatatkan kerugian lebih besar berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keadaan ekonomi Indonesia dan mata wang rupiah yang terjejas akibat lonjakan harga minyak.Penganalisis City Index, Fiona Cincotta berkata, keputusan Broadcom memberi alasan kepada pelabur untuk mengambil keuntungan selepas kenaikan pesat saham berkaitan AI sejak beberapa bulan lalu."Keputusan Broadcom menunjukkan jangkaan pelabur mungkin telah bergerak lebih pantas berbanding asas prestasi sebenar syarikat," katanya.Sementara itu, sentimen pasaran turut dipengaruhi perkembangan di Asia Barat apabila ketua kumpulan Hezbollah, Naim Qassem, menolak gencatan senjata bersyarat yang diumumkan oleh Lubnan dan Israel.Beliau menuntut gencatan senjata menyeluruh serta pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah utara negara jirannya itu.Dalam masa sama, rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS)dilihat masih buntu apabila Tehran melaporkan tiada kemajuan ketara dicapai, meskipun Presiden AS, Donald Trump, menyatakan keyakinan bahawa perjanjian masih boleh dicapai dalam masa terdekat.Bagaimanapun, harga minyak meneruskan penurunan selepas pelabur kekal optimis bahawa perjanjian dapat dicapai dan Selat Hormuz, laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, akan dibuka semula.Data pekerjaan rasmi AS yang dijangka diumumkan kemudian pada Jumaat turut menjadi tumpuan pasaran selepas data sektor swasta yang lebih baik daripada jangkaan menunjukkan ekonomi negara itu masih kukuh serta meningkatkan kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed). - Agensi...

Read the fullstory

It's better on the More. News app

✅ It’s fast

✅ It’s easy to use

✅ It’s free

Start using More.
More. from Sinar Harian ⬇️
news-stack-on-news-image

Why read with More?

app_description