Misi Eropah: Perak bawa pulang pelaburan RM450 juta
18 小时前
IPOH – Misi pelaburan kerajaan negeri Perak ke tiga buah negara Eropah dari 9 hingga 18 Mei lalu berjaya membawa pulang pelaburan berjumlah RM450 juta, sekali gus membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara kejayaan besar direkodkan dalam misi tersebut ialah komitmen pelaburan RM250 juta oleh syarikat dari Belgium, Lhoist Group, iaitu pemain utama industri ‘Quicklime’ dan ‘Hydrated Lime’ yang merancang membesarkan operasi di Ayer Kuning, Tapah.
Menurut beliau, selain itu pengumuman pelaburan tambahan lebih RM200 juta oleh syarikat antarabangsa dari Perancis, Saint-Gobain di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor.
“Saint-Gobain yang sudah pun beroperasi di Kanthan mengumumkan pelaburan tambahan tersebut semasa delegasi kerajaan negeri melawat ibu pejabat mereka di Perancis.
"Ini menunjukkan keyakinan berterusan mereka terhadap kestabilan, kemudahan infrastruktur serta tenaga kerja mahir di Perak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Negeri Perak dan Majlis Kolaborasi Strategik Projek Hab Agromakanan NCER di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Khamis.
Selain Saint-Gobain, Saarani berkata, delegasi turut mengadakan lawatan penanda aras ke kilang Solvay La Rochelle, iaitu sebuah fasiliti pemprosesan dan pengasingan unsur nadir bumi (REE) di Perancis.
Menurutnya, dalam lawatan tersebut delegasi kerajaan negeri meninjau teknologi terkini yang berpotensi diaplikasikan di negeri ini dalam aspek pengurusan dan pemprosesan REE.
Selepas Perancis, delegasi meneruskan lawatan ke Belgium yang menyaksikan sesi penting bersama Port of Antwerp-Brugge International (POABI) dan tiga syarikat yang berminat melabur dalam projek Lumut Maritime Industrial City (LuMIC).
Syarikat berkenaan ialah Belgian Scrap Terminal (BST), peneraju dalam teknologi pemisahan bahan kitar semula yang canggih dan mematuhi piawaian alam sekitar.
Syarikat kedua pula, Soenen Group Green Vessel Recycling, ialah sebuah syarikat Belgium yang pakar dalam pelupusan kapal secara lestari, penyelamatan marin dan pemulihan kargo rosak.
Sebuah lagi syarikat, Steinberg Logistics International, merupakan penyedia perkhidmatan logistik yang menawarkan penyelesaian menyeluruh termasuk pengangkutan multimodal, pergudangan dan perkhidmatan penghantaran.
“Terdapat tiga syarikat yang telah menunjukkan minat untuk melabur ke Perak di LuMIC. Mereka juga akan membuat lawatan susulan ke Perak pada bulan Jun ini," katanya.
Tambah beliau, misi ke Belgium turut membuka ruang kepada pelaburan dalam sektor teknologi akuakultur.
Satu Memorandum Kolaborasi (MoC) ditandatangani antara Perak Agro Aquaculture Sdn Bhd (PAASB), Artemia EcoHarvest Sdn Bhd (AESB), dan pakar akuakultur antarabangsa, Prof Dr Patrick Sorgeloos serta Patrick Maes.
“Projek ini bertujuan mewujudkan pusat hatcheri artemia komersial pertama di Malaysia, yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh rantaian nilai makanan laut negara,” katanya.
Delegasi kemudiannya meneruskan lawatan ke United Kingdom dan mengadakan pertemuan bersama Horiba MIRA di Leicester, sebuah syarikat terkemuka dalam bidang penyelidikan dan pengujian teknologi automotif.
Saarani berkata, pertemuan tersebut membuka jalan ke arah kerjasama untuk menubuhkan Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) di Sungkai dengan kerjasama Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Secara keseluruhan, misi pelaburan ini bukan sahaja berjaya menarik pelaburan bernilai ratusan juta ringgit, malah turut membuka pelbagai ruang kerjasama strategik dan teknologi baharu yang berpotensi mengubah landskap ekonomi Perak seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030....
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️