Angkasawan China terperangkap di angkasa lepas
12 小时前
BEIJING – Tiga angkasawan China dilaporkan terperangkap di Stesen Angkasa Tiangong selepas kapsul pulang mereka rosak dipercayai akibat dihentam serpihan kecil sisa angkasa, menurut kenyataan Agensi Angkasa China (CMSA) pada Rabu.Pasukan misi Shenzhou-20 yang terdiri daripada tiga anggota itu sepatutnya kembali ke Bumi pada hari sama, namun jadual kepulangan mereka ditangguhkan tanpa tempoh baharu diumumkan setelah jurutera menjalankan penilaian terhadap tahap kerosakan serta risiko ke atas kapal angkasa berkenaan.Menurut penyiar rasmi CCTV, tarikh pulang mereka kini 'ditangguhkan tanpa had masa' sementara siasatan diteruskan. CMSA percaya kapsul tersebut terkena serpihan kecil sisa angkasa, yang semakin menjadi ancaman kepada kapal di orbit rendah Bumi.Setakat ini, agensi berkenaan belum mendedahkan sejauh mana kerosakan dialami atau sama ada pembaikan boleh dilakukan.Sekiranya kapsul itu tidak dapat dibaiki, prosedur keselamatan menetapkan bahawa krew Shenzhou-20 akan menggunakan kapsul milik pasukan Shenzhou-21 untuk kembali ke Bumi."Analisis kesan hentaman dan penilaian risiko sedang dijalankan. Keselamatan krew menjadi keutamaan utama," kata CMSA dalam satu kenyataan ringkas.Misi Shenzhou-20 diketuai oleh Komander Chen Dong, bersama juruterbang tempur Chen Zhongrui dan jurutera Wang Jie. Mereka tiba di Stesen Angkasa Tiangong pada April 2025 untuk misi selama enam bulan yang hampir berakhir sebelum insiden berlaku.Sepanjang tempoh itu, mereka melaksanakan pelbagai tugas penyelidikan saintifik, penyelenggaraan sistem dan pembaikan kecil akibat hentaman sisa angkasa lain.Program Shenzhou menghantar krew angkasawan ke Tiangong secara berkala, dengan setiap misi biasanya melibatkan tiga anggota yang menjalankan tugasan saintifik dan teknikal sebelum digantikan oleh pasukan baharu.Sementara itu, misi Shenzhou-21 yang membawa tiga angkasawan baharu — Zhang Hongzhang, Wu Fei dan Zhang Lu — telah berjaya berlabuh di stesen berkenaan pada Sabtu lalu, beberapa hari sebelum kejadian.Pelancaran mereka dilakukan menggunakan roket Long March 2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada 31 Oktober 2025. Dengan ketibaan Shenzhou-21, pihak CMSA mempunyai pilihan logistik bagi memastikan keselamatan krew terdahulu sekiranya kapsul mereka tidak lagi boleh digunakan untuk pulang ke Bumi.Pakar keselamatan angkasa memberi amaran bahawa peningkatan sisa buangan di orbit rendah kini menjadi ancaman serius kepada kapal angkasa, termasuk Stesen Angkasa Antarabangsa dan Tiangong milik China.Fenomena itu berpunca daripada satelit tidak aktif, bahagian roket yang ditinggalkan serta serpihan hasil perlanggaran, yang boleh bergerak pada kelajuan tinggi dan menyebabkan kerosakan besar walaupun bersaiz kecil.Insiden ini menambah satu lagi cabaran kepada usaha China untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa angkasa utama dunia dalam persaingan yang semakin sengit dengan Amerika Syarikat.-Agensi...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

