'Kami tak sangka, itulah azan terakhir ayah'
16 小时前
KUANTAN – "Ayah sempat azan sendiri sebelum berangkat ke Tanah Suci dan alunannya kedengaran sangat sayu,".Demikian kata Muhamad Adib Salleh, 37, anak sulung kepada Allahyarham Salleh Ramlee, 67, yang meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji pada 13 Mei lalu.Menurutnya, suasana sayu itu dirasai ahli keluarga dan saudara-mara ketika arwah yang juga bilal masjid memilih untuk melaungkan sendiri azan sebelum berangkat ke Tanah Suci sebagai tanda permulaan perjalanan ibadahnya."Masa itu memang ramai sebak, arwah ayah azan dengan tenang tetapi nadanya sangat berbeza dan menusuk hati kami semua."Kami tak sangka, itulah azan terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya di Tanah Suci," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Impian di Kampung Padang di sini pada Sabtu.Muhamad Adib memberitahu, arwah bapanya pernah berseloroh mengenai keinginan untuk terus menetap di Tanah Suci.Katanya, gurauan itu diluahkan kepada bapa saudara ketika ahli keluarga berkumpul untuk menghantar arwah berangkat menunaikan ibadah tersebut."Ayah ada bergurau dengan adiknya, dia tanya 'hang tak mahu pergi kah Mekah? Aku nak pergi, aku nak duduk sana."Kami tidak menyangka gurauan yang dianggap biasa itu rupa-rupanya menjadi kenyataan apabila ayah benar-benar 'menetap' dan dikebumikan di sana," luahnya.Sebelum itu, Muhamad Adib berkata, bapanya tidak sedarkan diri pada Selasa lalu sebelum perkara itu dimaklumkan ibunya, Nuriah Abd Wahab, 60, melalui kumpulan WhatsApp keluarga.Ceritanya, warga emas berkenaan kemudian dibawa ke Hospital King Abdulaziz, Makkah untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Makkah Medical Center, namun disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam.Tambah Muhamad Adib, ibunya yang turut berada di sana sempat membuat panggilan video bagi membolehkan lima beradik itu menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir sebelum arwah ditidurkan./p>"Ibu sangat kuat walaupun saya tahu dia dalam keadaan sebak dan ibu berulang kali menasihatkan kami supaya reda dengan ketentuan takdir."Alhamdulillah, impian ibu untuk menemani ayah hingga ke saat akhir di sana dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.Mengulas mengenai peribadi arwah bapa, Muhamad Adib memberitahu, bapanya seorang yang sangat mencintai rumah ALLAH dan pernah berkhidmat sebagai imam serta memegang jawatan terakhir sebagai bilal di kawasan kediamannya di sini.Sementara itu, Hussin Abdul Mubin, 73, berkata, pemergian rakan baiknya itu amat dirasai selepas lebih 45 tahun mereka berkawan.Menurutnya, arwah sering melaungkan azan apabila ada kenalan berangkat ke Tanah Suci, dan kali ini arwah melakukannya sendiri sebelum pemergiannya."Suara dia kuat tapi sayu. Itu azan terakhir dia sebelum berangkat."Saya tidak sangka itu menjadi pertemuan terakhir, dan pastinya saya rasa kosong kerana sebelum ini ke mana-mana kami berdua, sekarang tinggal seorang," katanya.Arwah Salleh adalah seorang daripada dua jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci minggu ini, menjadikan keseluruhan lima jemaah haji meninggal dunia di Makkah setakat ini.Terdahulu, wakil daripada Tabung Haji Pahang menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Taman Impian, di sini dan menyerahkan wang khairat kematian berjumlah RM1,500. ...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free
More. from Sinar Harian ⬇️

