Amanz
1 天前
Selepas sebulan menggunakan Xiaomi Tag, pengalaman saya terasa baik dan meyakinkan dalam pelbagai situasi. Saya menggantungnya pada kunci rumah, menyimpannya di dalam beg galas dan membawanya bersama ketika perjalanan kerja ke luar negara. Dalam semua keadaan, ia berfungsi dengan konsisten serta boleh diharap.

Saya memulakan penilaian ulasan ini daripada rekaan fizikal kerana pandangan awal sangat penting. Saiznya kecil, bentuk ringkas dan mudah dibawa tanpa rasa membebankan. Walaupun tidak berpeluang menilai penjejak lain secara menyeluruh, saya sempat mendengar pengalaman rakan-rakan dan meneliti maklumat di laman rasmi lalu sedikit perbandingan dapat dibuat.
Apple AirTag kelihatan premium tetapi memerlukan aksesori tambahan untuk digantung manakala Samsung Galaxy SmartTag2 lebih kemas namun hanya eksklusif untuk peranti Galaxy. Kekangan ini menjadikan Xiaomi Tag lebih bebas digunakan kerana boleh digantung terus tanpa aksesori tambahan serta berfungsi merentas ekosistem Apple dan Android. Di sinilah Xiaomi Tag benar-benar menonjol.

Sepanjang lebih sebulan penggunaan, kelebihannya semakin jelas dari hari ke hari. Rekaan dengan lekuk tepi memudahkan ia digantung terus, dan setiap kali digunakan pengalaman terasa meyakinkan. Mesra untuk pengguna baharu, pada masa sama sesuai bagi sesiapa yang mahukan penjejak ringkas serta mudah digunakan dalam rutin harian.
Bahagian terbaik sepanjang penggunaan Xiaomi Tag ialah harganya yang berpatutan. Satu unit dijual pada RM79, manakala pakej set ditawarkan pada RM299 yang hampir separuh lebih murah berbanding pesaing lain. Faktor harga sahaja sudah cukup menjadikannya pilihan bijak, khususnya bagi pengguna baharu. Xiaomi Tag bukan sekadar penjejak biasa tetapi peranti kecil yang memberi keyakinan dalam penggunaan seharian.

Saya tidak menghadapi masalah dengan saiznya kerana ia sesuai untuk kegunaan harian. Rekaan tanpa logo besar, kemasan berkilat berlebihan atau elemen hiasan seperti lampu RGB menjadikannya nampak minimalis. Gaya ringkas ini memberi kesan positif dalam penggunaan seharian. Saya menggantungnya pada kunci rumah, menyimpannya di dalam poket beg selempang atau dompet kecil dan ia langsung tidak mengganggu.
Namun ada satu perkara yang saya rasa boleh diperbaiki iaitu pilihan warna. Unit putih yang saya gunakan memang kelihatan cantik dan ringkas, tetapi mudah kotor serta tercalar apabila digabungkan dengan kunci. Pada masa akan datang, Xiaomi boleh mempertimbangkan variasi warna lain seperti kelabu atau hitam yang lebih mudah dijaga. Selain itu, pilihan warna ceria juga wajar ditawarkan supaya ia bukan sekadar berfungsi sebagai penjejak tetapi turut menyerlah sebagai aksesori comel seperti keychain.
Bagaimana Ia Berfungsi?Xiaomi Tag membuktikan bahawa ia bukan sekadar penjejak murah. Ia hadir dengan sokongan untuk Apple Find My dan Google Find Hub. Walaupun tidak boleh digunakan serentak, pengguna bebas memilih ekosistem yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Saya sendiri telah mencubanya pada peranti iPhone dengan iOS 26 serta pada Android dengan Android 16. Proses pemasangan terasa sangat mudah, seolah-olah direka khusus untuk pengguna baharu. Dalam beberapa minit sahaja, Xiaomi Tag sudah muncul dalam aplikasi berkaitan dan sedia digunakan.

Saya mula mencubanya dengan iPhone. Selepas mengaktifkan Xiaomi Tag, saya membuka aplikasi Find My dan masuk ke menu Items. Dari situ, saya menekan butang tambah (+) untuk menambah peranti baharu. Arahan yang muncul di skrin ringkas dan mudah difahami, sehingga tidak lama kemudian Xiaomi Tag berjaya dipasangkan tanpa sebarang masalah. Selepas sambungan selesai, saya terus boleh menjejak lokasi secara langsung melalui aplikasi Find My. Fungsi bunyi sangat membantu apabila mencari barangan yang tersalah letak manakala Lost Mode pula memberi ketenangan sekiranya ia hilang.

Pengalaman mencuba Xiaomi Tag pada peranti Android juga tidak menunjukkan perbezaan ketara. Selepas diaktifkan, pengguna boleh membuka aplikasi Google Find Hub dan memilih menu untuk menambah peranti baharu. Arahan pada skrin ringkas serta mudah difahami, lalu proses sambungan berjaya dilakukan dalam masa singkat. Setelah selesai, lokasi dapat dijejak secara langsung melalui aplikasi. Secara keseluruhan, pengalaman di Android hampir sama dengan iPhone di mana kedua-duanya mudah digunakan dan meyakinkan.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa perbezaan antara Android dan iOS. Xiaomi Tag pada asasnya menawarkan fungsi asas yang sama pada kedua-dua sistem termasuk proses sambungan, menukar nama, notifikasi bateri, pencarian luar talian, Lost Mode, sokongan NFC serta ciri anti-penjejakan. Namun pada peranti Android, kemas kini perisian tidak disokong, sedangkan pada iOS ia boleh dilakukan. Kaedah sambungan juga berbeza dengan Android menggunakan pop-up automatik manakala iOS memerlukan pengguna menambah peranti secara manual melalui aplikasi Find My.

Selain itu, Lost Mode pada Android akan terpadam secara automatik apabila tag kembali bersambung dengan telefon. Sebaliknya, pada iOS pengguna boleh mengurus Lost Mode secara manual termasuk menambah maklumat hubungan seperti nombor telefon atau e-mel supaya orang lain dapat membantu memulangkan barang yang hilang. Dari segi bilangan peranti, iOS mengehadkan sehingga 32 tag sahaja, manakala Android tidak mempunyai had.
Pengalaman PenggunaanXiaomi Tag berfungsi secara senyap dengan menghantar isyarat Bluetooth yang selamat. Peranti lain yang berdekatan dan menjadi sebahagian daripada rangkaian Find akan mengesan isyarat tersebut kemudian memuat naik lokasi ke awan secara tanpa nama. Semua maklumat dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung, jadi hanya saya yang boleh melihat di mana tag berada.
UI peranti iPhone (Apple Find My)Dalam situasi sebenar, Xiaomi Tag memberi keyakinan kerana ia berfungsi dengan cara yang ringkas dan jelas. Pernah sekali saya tertinggal beg tangan di rumah, tidak lama kemudian muncul notifikasi daripada aplikasi Find My. Apabila aplikasi dibuka, lokasi ditunjukkan dengan tepat dan rasa lega datang sekelip mata. Melalui aplikasi, saya boleh melihat peta serta mengetahui jarak dan arah untuk menuju ke lokasi. Jika menggunakan peranti Apple, ia terus dihubungkan dengan Apple Maps.
UI peranti Android (Google Find Hub)Antaramuka aplikasi juga jelas dengan warna serta ikon yang mudah difahami malah menyediakan pilihan arah mengikut mod pengangkutan seperti kereta, berjalan kaki atau kereta api. Anggaran masa tiba (ETA) dan jarak perjalanan turut dipaparkan, menjadikan pencarian lebih teratur. Selain itu, barangan yang ditandakan (Mark) boleh dikongsi dengan ahli keluarga atau rakan terdekat. Perkongsian lokasi turut menambah lapisan keselamatan kerana orang lain boleh membantu menjejaki barang jika berlaku kecemasan.

Pengalaman sebenar lain turut membuktikan keberkesanannya. Pernah kunci kereta saya “menghilang” sewaktu kelam-kabut untuk ke pejabat. Dalam keadaan cemas itu, saya segera mengaktifkan fungsi bunyi melalui telefon. Bunyi “beep” yang bergema membawa saya menjejaki kunci tersebut seolah-olah sedang menjalankan misi rahsia. Saya mengekori bunyi itu sehingga akhirnya berjaya menemui kunci kereta. Situasi ini jelas menunjukkan bagaimana fungsi asas seperti notifikasi dan bunyi amaran mampu memberi impak besar dalam kehidupan harian.
Selain itu, Xiaomi Tag hadir dengan penarafan IP67 yang bermaksud ia tahan debu dan percikan air serta mampu bertahan jika tenggelam di dalam air tawar sehingga satu meter selama tiga puluh minit. Setakat pengalaman saya, ia belum pernah tenggelam di dalam air sebaliknya hanya terkena hujan namun masih berfungsi dengan baik sehingga hari ini.

Dari segi bateri, Xiaomi Tag menggunakan bateri CR2032 yang boleh ditanggalkan. Jenis bateri ini lazimnya digunakan dalam jam tangan dan peranti elektronik kecil kerana saiznya kompak sekaligus mampu menyimpan tenaga dengan stabil. Xiaomi menyatakan bahawa bateri ini boleh bertahan lebih daripada setahun untuk penggunaan biasa. Setakat pengalaman saya, indikator bateri dalam aplikasi masih menunjukkan tahap penuh.
KesimpulanXiaomi Tag ialah gajet kecil yang senyap tetapi berfungsi dengan baik. Ia sesuai untuk kegunaan harian dan berbaloi dimiliki oleh sesiapa yang baru mahu mencuba penjejak pintar. Dengan rekaan minimalis, harga berpatutan serta sokongan merentas ekosistem Apple dan Android, ia memberikan ketenangan kerana barang penting sentiasa boleh dijejaki. Walaupun ringkas, ia hadir sebagai peneman kecil yang membantu tanpa berlebihan, menjadikannya satu pilihan berguna untuk kehidupan seharian.
Xiaomi Tag amat sesuai untuk mereka yang sering tertinggal atau tersalah letak barang seperti kunci, dompet, atau beg tangan. Ia juga berguna untuk pelajar dan pekerja yang membawa banyak barangan penting, pengembara yang mahu menjejak beg galas atau bagasi, serta ibu bapa yang ingin memantau barang anak-anak. Bagi pengguna baharu penjejak pintar, Xiaomi Tag menawarkan pengalaman yang mudah difahami dengan kos yang lebih mesra berbanding banyak pilihan lain di pasaran.
Satu unit Xiaomi Tag dijual pada RM79, manakala pakej set 4 Xiaomi Tag ditawarkan pada RM299.
Kelebihan
Saiz kecil dan mudah dibawa. Harga berpatutan lebih murah berbanding pesaing. Sokongan merentas ekosistem (Apple Find My & Google Find Hub). Mudah dipasang dengan arahan mesra pengguna. Fungsi asas lengkap. Penarafan IP67 (tahan debu & air) Bateri tahan lebih setahun penggunaan biasa.Kekurangan
Unit putih mudah kelihatan lusuh jika digunakan bersama kunci. Pilihan warna putih mudah kelihatan kotor dan calar. Pada Android, kemas kini perisian tidak disokong. Lost Mode di Android terpadam automatik apabila tag kembali bersambung.
]]>...
Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free

