Amanz
10 小时前
Acer Predator Helios 18 AI hadir dengan paparan skrin Mini LED dengan resolusi 4K dan juga kadar segar semula sepantas 240Hz.

Di reruai Acer, kami telah berpeluang untuk menguji permainan ini dengan permainan simulasi perlumbaan Forza Horizon 4, dan olahan grafik yang diperlihatkan pada paparan ini sangat cantik sekali, dan lebih penting lagi, olahan permainan ini pada paparan tersebut tidak memperlihatkan isu screen tearing yang boleh diperlihatkan khususnya apabila permainan diolah pada kadar segar semula yang tinggi.

Paparan Mini LED ini juga hadir dengan Dual-Mode Display yang mana kadar segar semula paparan ini boleh ditingkatkan apabila permainan dimainkan pada resolusi lebih rendah, khususnya Full HD. Perkara ini berguna untuk permainan penembak pertama seperti Counter-Strike, Valorant dan sebagainya untuk mereka yang lebih mementingkan kadar segar semula yang lebih tinggi untuk tindak-balas yang lebih cepat.

Komputer riba ini dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 290HX Plus dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 untuk pengalaman gaming yang terbaik. Ini digabungkan juga dengan penggunaan memori LPDDR5 sehingga 256GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB yang boleh merumahkan beberapa permainan komputer bersaiz besar, termasuklah tajuk-tajuk besar seperti Call of Duty, Forza Horizon 6 dan sebagainya tanpa masalah.



Ketiga-tiga bahagian sisi kiri, kanan dan belakang komputer riba ini juga merumahkan palam-palam Thunderbolt 4, HDMI 2.1, pembaca kad SD, palam audio dan sebagainya secara sekata untuk mengurangkan isu kabel berselirat apabila banyak kabel disambungkan kepada komputer riba ini.
Dalam pada itu ia juga menyokong sambungan internet nirwayar WiFi7 dan sambungan berwayar dengan kelajuan tinggi, bergantung kepada keperluan pengguna.
RekaanAcer Predator Helios 18 AI masih hadir dengan rekaan minimalis sama seperti banyak komputer riba Acer Predator sebelum ini, akan tetapi model ini khususnya telah memperlihatkan satu rekaan yang sedikit futuristik dengan penambahan pencahayaan latar RGB di permukaan tempat letak tangan, papan kekunci, belakang paparan skrin dan juga bahagian engsel komputer riba ini, dengan penjenamaan Helios.


Tambahan kepada itu, bahagian papan kekunci komputer riba ini juga hadir dengan pencahayaan RGB yang mana setiap satu kunci boleh diubahsuai melalui perisian PredatorSense. Di atas bahagian papan kekunci terdapat satu butang yang berfungsi sebagai suis untuk menukar mod prestasi komputer riba dari mod senyap, seimbang dan prestasi tinggi.

Untuk menyejukkan komponen-komponen berkuasa dalam komputer riba ini, Acer menggunakan kipas penyejuk Aeroblade 3D Gen6 dengan 100 bilah kipas bersaiz 0.01mm untuk mengalirkan haba dari komponen-komponen CPU dan GPU dengan cepat. Akan tetapi seperti kebanyakan sistem seperti ini, bunyi kipas adalah agak kuat, tetapi secara positifnya, bahagian papan kekunci masih boleh digunakan secara selesa, tanpa isu ia menjadi terlalu panas.

Anda pasti menanyakan mengapakan komputer riba ini hadir dengan penamaan AI. Kedua-dua komponen CPU dan GPU Predator Helios 18 AI hadir dengan kemampuan AI TOPS yang tinggi (1824 melalui GPU sahaja). Dan jika anda seorang yang mahu memanfaatkan kuasa pemprosesan AI tersebut, Acer telah memperkenalkan perisian yang dinamakan .

Perisian ini, yang diperkenalkan untuk komputer-komputer riba Acer yang hadir dengan kemampuan pemprosesan AI akan mengimbas komputer anda dan menawarkan pelbagai perkhidmatan perisian AI yang boleh dimanfaatkan oleh komputer riba anda, seperti perisian AI generatif, perisian latihan mesin kecerdasan buatan, perisian pembangunan kecerdasan buatan dan sebagainya, menjadikan komputer riba gaming ini sebagai sebuah komputer riba produktiviti profesional juga.
Jika anda seorang yang mempunyai poket atau akaun bank dengan angka sepanjang nombor telefon bimbit, Acer Predator Helios 18 AI pada pendapat saya adalah salah sebuah komputer riba yang boleh saya cadangkan sebagai sebuah komputer riba dengan prestasi yang mengganas, tetapi dengan rekaan minimalis yang tidak begitu mencuri perhatian, walaupun ia mempunyai sistem pencahayaan RGB yang agak gemerlap.
Komputer riba ini dijangka akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada suku ketiga atau keempat tahun ini. Buat masa ini pihak Acer Malaysia belum mengesahkan bilakah komputer riba ini akan ke pasaran tempatan.
]]>...Read the fullstory
It's better on the More. News app
✅ It’s fast
✅ It’s easy to use
✅ It’s free

